Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bawah Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan kenyataan terkini bahawa uji kaji lapangan nyamuk transgenik telah dilaksanakan di Malaysia pada bulan Disember lalu. Kira-kira 6000 nyamuk transgenik, iaitu sejenis nyamuk jantan yang diubahsuai secara genetik telah dilepaskan di satu kawasan hutan di tenggara negara itu bagi mengawal populasi nyamuk aedes yang menyebarkan penyakit demam denggi.
Berita tentang uji kaji tersebut telah menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang tahap keselamatan teknologi transgenik ini.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Asia Tenggara telah dilanda wabak penyakit demam denggi yang teruk. Pada tahun 2010, sebanyak 46 ribu kes demam denggi dilaporkan di seluruh Malaysia. Manakala, mangsa yang dijangkiti virus denggi di Thailand pula mencecah 115 ribu orang pada tahun yang lalu. Memandangkan wabak demam denggi yang semakin serius, negara-negara di Asia Tenggara telah meningkatkan penyelidikan terhadap serangga, seperti nyamuk Aedes aegypti untuk mencegah perebakan wabak itu. Akan tetapi, ini merupakan percubaan pertama negara Asia Tenggara menghapuskan serangga dengan menggunakan teknologi transgenik.
Menurut pakar, nyamuk yang diubahsuai secara genetik di makmal ini merupakan nyamuk jantan jenis Aedes aegypti. Keupayaan pembiakan nyamuk transgenik ini akan menjadi rendah dan hayatnya juga lebih pendek. Selepas nyamuk transgenik ini mengawan bersama nyamuk Aedes betina, diharap biakannya juga akan menunjukkan ciri-ciri yang sama, malah mengeluarkan telur-telur yang tidak dapat menetas.
Nyamuk transgenik jenis OX513A yang digunakan untuk uji kaji kali ini merupakan hasil kerjasama antara Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Malaysia dengan sebuah syarikat bioteknologi Britain.
Dr. Seshadri Vasan yang mengetuai kajian mengatakan bahawa kumpulannya telah melakukan kajian yang teliti ke atas nyamuk transgenik itu selama empat tahun. Uji kaji lapangan yang sudah diselesaikan pada 5 Januari lalu bertujuan untuk memantau pergerakan dan mengetahui tahap kebolehidupan nyamuk itu di suasana semula jadi. Pihak berkenaan telah melakukan kerja penyemburan asap untuk membunuh semua nyamuk di kawasan terbabit. Keadaan ekologi di kawasan yang dilakukan uji kaji akan terus dipantau dalam jangka masa dua bulan.
Walaupun pegawai jabatan berkenan di Malaysia mendakwa uji kaji tersebut adalah selamat dan boleh dikawal, akan tetapi, tindakan mereka telah menimbulkan bantahan beberapa pertubuhan sosial yang bimbang akan keselamatan makanan yang tidak terjamin berikutan kemunculan nyamuk transgenik itu.
Ada orang berpendapat, kesan uji kaji tersebut adalah sukar untuk diramal, sebab kawasan yang dilepaskan nyamuk transgenik itu merupakan satu persekitaran ekologi yang rumit. Dalam persekitaran itu, ada nyamuk jenis lain, ada serangga yang menjadikan nyamuk sebagai makanan dan juga binatang yang makan serangga. Ini bermakna, daging binatang yang berada di kawasan itu yang juga merupakan sumber makanan manusia juga mungkin dipengaruhi uji kaji kali ini. Oleh itu, kerajaan Malaysia dituntut membuat penilaian yang lebih teliti terhadap kesan program penyelidikan tersebut terhadap sistem ekologi tempatan.








