Sejak 21 Februari yang lalu, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Desa China telah memeterai dokumen yang berkenaan dengan kerajaan pelbagai tempat di China untuk mencapai sasaran membina 10 juta unit rumah kos rendah dan rumah sewa murah sebelum 31 Oktober tahun ini.
Sesudah musim perayaan Tahun Baru China berakhir, kerajaan pusat dan kerajaan tempatan di pelbagai kawasan China telah melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal harga rumah. Membina rumah sewa murah dan rumah kos rendah amat penting dalam usaha mengawal harga rumah kali ini. Pegawai dari Pusat Maklumat Ekonomi Negara, Wang Yuanhong menyatakan bahawa rumah kos rendah dan rumah sewa murah dapat menyediakan syarat penginapan yang agak baik untuk golongan yang jumlah pendapatannya sederhana dan rendah serta membantu mengawal harga rumah. Beliau berkata, "Dari segi ilmu ekonomi, menambah bekalan rumah harga murah dalam waktu yang singkat dapat mengawal harga rumah."
Bandar raya Beijing dan Shanghai masing-masing akan menyediakan lebih 200 ribu unit dan 220 ribu unit rumah kos rendah dan rumah sewa murah pada tahun ini. Naib Ketua Pengarah Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Desa Wilayah Autonomi Hui Ningxia, Liu Dejun berkata, "Kerajaan Ningxia telah memperuntukkan lebih 900 juta yuan RMB untuk membina rumah kos rendah dan rumah sewa murah bagi 57,000 buah keluarga di bandar."
Naib Ketua Pengarah Jabatan Sumber Tanah dan Pentadbiran Perumahan Tianjin, Xu Nan menyatakan bahawa pihaknya akan membina 230 ribu unit rumah kos rendah dan rumah sewa murah pada tahun ini. Beliau berkata, "Bandar Tianjin akan membina rumah kos rendah dan rumah sewa murah yang luasnya 12 juta meter persegi pada tahun ini. Angka tersebut telah meningkat 85% berbanding tahun 2010. Pihak-pihak yang berkaitan akan berusaha menyelesaikan projek pembinaan rumah-rumah tersebut dengan seawal mungkin agar penduduk mendapat faedah dengan secepat mungkin."
Bandar Hefei, provinsi Anhui akan membina 23,580 unit rumah sewa awam dan rumah kos rendah. Pakar dari Institut Pengajian Hartanah Kolej Hefei, Ling Bin menyatakan bahawa langkah tersebut akan membantu keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah untuk menyelesaikan masalah perumahan. Beliau berkata, "Bandar Hefei akan membina rumah sewa awam yang luasnya sekurang-kurangnya sejuta meter persegi pada setiap tahun untuk keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah."
Sejumlah besar rakyat China telah mendapat faedah daripada pelaksanaan projek pembinaan rumah kos rendah dan rumah sewa murah. Selain itu, projek tersebut juga akan mendorong perkembangan pasaran hartanah secara stabil dan teratur.








