Cari:
Lebih 600 Maut dalam Gempa Bumi di Jepun
2011-03-12 15:51:43 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Setakat ini, gempa bumi dahsyat yang melanda bahagian timur laut Jepun sehingga mencetuskan tsunami, sudah mengakibatkan sekurang-kurangnya 600 orang terbunuh, lebih 800 orang hilang, manakala lebih 1000 orang lagi cedera.

Bencana tersebut turut memusnahkan kawasan pantai Lautan Pasifik di Wilayah Iwate, Miyagi dan Fukushima. Ia juga mengakibatkan lima buah generator di dua buah loji nuklear gagal berfungsi. Kerajaan Jepun sudah mengesahkan satu kes kebocoran di loji nuklear di Wilayah Fukushima.

Selain itu, gempa susulan berukuran 6.6 skala Richter dilaporkan menggegarkan kawasan Niigata-Chuetsu subuh tadi. Ia disusuli pula dengan satu lagi gempa berukuran 6.8 skala Richter yang menggegarkan pesisir pantai timur Jepun pagi tadi.

Selepas gempa bumi yang dahsyat itu berlaku, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk PBB, Bank Dunia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Kesatuan Eropah (EU), serta beberapa buah negara, termasuk China, A.S., Turki, Jerman, Finland dan Kanada, terus-menerus menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan Jepun, di samping menyatakan kesediaan mereka untuk memberikan apa jua bantuan yang diperlukan kepada Jepun.

Sementara itu, Presiden Singapura, S.R. Nathan dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong juga mengirim surat kepada Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan yang menyatakan bahawa Singapura bersiap sedia untuk memberikan bantuan yang semampu boleh kepada Jepun pada bila-bila masa.

Menurut laporan terkini, setakat tengah hari tadi, sistem jaminan kehidupan, seperti jaringan pengangkutan dan bekalan elektrik, di wilayah-wilayah yang paling serius dilanda gempa bumi, masih belum pulih.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) hari ini terus mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduk yang tinggal di wilayah-wilayah yang berdekatan dengan kawasan pantai Lautan Pasifik.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China