Masyarakat antarabangsa terus menghulurkan bantuan kepada Jepun selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat dan tsunami.
Pasukan Penyelamat Antarabangsa China yang terdiri daripada 15 anggota tiba di Jepun pada tengah hari 13 Mac lalu dan bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat bersama pasukan penyelamat Jepun. Kerajaan China menyatakan akan menyalurkan bantuan yang bernilai 30 juta yuan RMB kepada Jepun. Barang bantuan kumpulan pertama yang termasuk khemah, selimut dan lampu telah diangkut tiba di negara itu malam semalam.
Jawatankuasa Palang Merah China telah menyediakan bantuan berjumlah 6 juta yuan RMB kepada Jepun demi menjalankan misi bantuan kemanusiaan.
Selain itu, Kedutaan Besar China di Jepun serta syarikat dan individu China di Jepun juga telah mengumpulkan sumbangan derma sebanyak 4.57 juta yen Jepun.
A.S. juga menghantar kumpulan pakar nuklear ke Jepun untuk memberikan bantuan profesional kepada negara itu dalam menangani kebocoran nuklear.
Pasukan penyelamat dari Singapura dan Indonesia telah tiba di Jepun untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat.
Menurut data terkini yang diumumkan oleh Jabatan Polis Jepun, sehingga pukul 12.30 petang tadi, bilangan kematian dalam bencana gempa bumi dan tsunami meningkat ke 2475 orang, manakala 3611 lagi yang masih hilang.