Lawatan Perdana Menteri China ke Malaysia bakal meningkatkan lagi persefahaman politik dan kerjasama ekonomi suiz perdagangan dua hala. Demikian dinyatakan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Chai Xi semasa ditemu bual oleh wartawan baru-baru ini.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada penghujung bulan ini. Atas undangan Perdana Menteri malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dalam tempoh lawatan tersebut, Wen Jiabao akan mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Dato' Seri Najib, bagi bertukar-tukar pendapat tentang hubungan dua hala serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama. Perdana Menteri kedua-dua negara itu akan menghadiri majlis perasmian Forum Kerjasama Ekonomi China-Malaysia, dan menyaksikan penandatanganan beberapa dokumen kerjasama.
Duta Besar China ke Malaysia, Chai Xi berkata, pencapaian China dan Malaysia dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan pada beberapa tahun yang lalu amat menggalakkan, khususnya dengan peluang daripada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang ditubuhkan pada awal tahun 2010. Jumlah perdagangan dua hala mencatat 74.2 bilion dolar Amerika pada tahun lepas, meningkat 42.8% berbanding tahun 2009. Kini, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China dalam kalangan negara ASEAN, selama 3 tahun berturut-turut, China telah menjadi rakan dagang terbesar kepada Malaysia selama dua tahun berturut-turut.
Menurut Duta Besar itu, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara boleh saling melengkapi kerana Malaysia ialah negara yang kaya dengan pelbagai sumber dalam bidang tenaga, hasil perlombongan dan pelancongan, manakala, China mempunyai kelebihan dari segi teknologi, tenaga manusia serta kapasiti pasaran yang amat besar.
Ketika menyentuh tentang bidang pendidikan pula, Chai Xi berkata kini semakin ramai pelajar China melanjutkan pengajian mereka di pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia. Kursus berprestij yang ditawarkan dalam bahasa Inggeris dan kemudahan prasarana di Malaysia antara perkara yang menarik minat pelajar China. Jumlah pelajar China yang melanjurkan pelajaran di Malaysia mencecah 10,000 orang pada tahun 2010, yakni jumlah pelajar asing yang kedua terbesar di Malaysia.
Chai Xi memaklumkan bahawa kini China dan Malaysia sedang mengadakan perbincangan tentang pengiktirafan ijazah institusi pengajian tinggi masing-masing. Persetujuan yang dicapai dalam perkara ini akan merancakkan lagi kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.