Cari:
Kereta Api Berkelajuan Tinggi Beijing-Shanghai Terokai  Era Baharu Pengangkutan Kereta Api China
2011-07-01 15:14:17 CRI Cetak
Kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Shanghai yang mendapat perhatian masyarakat itu beroperasi secara rasmi pada pukul 15.00 petang semalam. Dengan kelajuan 350 kilometer sejam, kereta api tersebut menggunakan landasan sepanjang 1,318 kilometer merentasi tujuh buah bandar dan provinsi termasuk Beijing, Tianjin dan Shanghai. Ini bermakna perjalanan dari Beijing ke Shanghai mengambil masa tidak sampai lima jam.

Perdana Menteri China, Wen Jiabao dalam upacara perasmian operasi kereta api itu semalam berkata,

"Landasan kereta api itu amat bererti bagi menyempurnakan sistem pengangkutan moden, menggalakkan pembangunan sosioekonomi dan memenuhi keperluan pengangkutan rakyat. Projek pembinaan itu siap dalam tempoh hanya 38 bulan, dan ini mencatat rekod dalam sejarah pembinaan landasan keretapi China."

Sebelum ini, Naib Menteri Landasan Keretapi China, Hu Yadong pernah menyatakan bahawa pada peringkat permulaan, operasi kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Shanghai dirancang menyediakan 90 perjalanan pergi balik sehari, dengan kelajuan 300 kilometer sejam dan 250 kilometer sejam.

Sejak China mula membangunkan dan mengeluarkan teknologi kereta api laju, masalah yang melibatkan hak harta intelek dan keselamatan selalu diberi fokus oleh media dan rakyat. Dalam hal itu, Naib Ketua Bahagian Teknologi Pengangkutan Awam Biro Pengangkutan Kementerian Landasan Keretapi China, Zhou Li berkata,

"Bermula tahun 2007, China mengimport, mempelajari, mengubah suai dan menjalankan inovasi teknologi berkenaan sehingga berupaya menyediakan banyak kereta api laju yang digunakan dalam pengangkutan awam sekarang. Setakat ini, tiada sebarang pertikaian membabitkan hak harta intelek. China mempunyai hak harta intelek teknologi kereta api laju terutamanya kereta api dengan kelajuan mencecah 350 kilometer sejam."

Zhou Li menyatakan, reka bentuk yang selamat amat penting bagi memastikan keselamatan operasi kereta api. China sudah menguasai teknologi reka bentuk yang lengkap termasuk pengiraan, penganalisisan, penilaian dan ujian darat, khususnya teknologi reka bentuk keretapi dengan kelajuan 350 kilometer sejam yang beroperasi antara Beijing dan Shanghai itu yang hanya dimiliki China.

Kerajaan China berharap landasan kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Shanghai dapat menerajui pembangunan ekonomi di kawasan sekitar landasan itu. Jurucakap Kementerian Landasan Keretapi China, Wang Yongping berkata,

"Kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Shanghai akan menerajui perkembangan pesat industri ketiga termasuk pelancongan, perdagangan dan penyajian makanan, menggalakkan urbanisasi dan pembangunan ekonomi desa serta menggalakkan nilai hartanah di sekitarnya meningkat."

Menurut jangkaan, kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Shanghai itu akan digunakan oleh lebih 80 juta penumpang sehala setiap tahun, manakala jumlah pengangkutan keseluruhan barangan sehala akan mencecah 130 juta tan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China