Kerjasama kewangan antara negara-negara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea (10+3) dijangka meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi dengan beroperasinya Jabatan Penyelidikan Ekonomi Makro ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea (AMRO) pada bulan depan.
Ketua Pengarah AMRO, Wei Benhua menyatakan, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan 10+3 pada bulan Mei lalu, pelbagai pihak telah bersetuju untuk bersama-sama mengkaji kaedah mencegah krisis kewangan berdasarkan Inisiatif Multilateral Chiang Mai serta merancang kerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Wei Benhua, krisis kewangan yang berlaku di sesebuah negara kini dirasai oleh negara atau kawasan yang lain dengan begitu cepat berikutan proses integrasi kewangan dan peralihan modal yang semakin cepat di pasaran kewangan antarabangsa. Oleh itu, masyarakat antarabangsa sudah menyedari peri pentingnya penubuhan mekanisme bagi mencegah krisis kewangan. IMF telah menubuhkan "sistem tahap pinjaman kredit yang fleksibel"(FCL) pada bulan Mac 2009 bagi menangani krisis kewangan sejagat. Ia bertujuan menjamin pinjaman kredit kepada entiti ekonomi yang mungkin dilanda krisis kewangan, sedangkan dasar ekonomi makronya dianggap munasabah. IMF yang rizab simpanannya besar mampu memberikan sokongan kredit kepada sesebuah entiti ekonomi yang menghadapi risiko krisis kewangan. Tindakan ini juga berfedah bagi membendung kegiatan spekulasi. Sistem yang dibentuk oleh IMF juga terbukti berkesan bagi membantu beberapa negara menangani tempias krisis kewangan seperti Mexico, Poland dan Columbia.
Ketua Pengarah AMRO menyatakan, sebuah tabung rizab mata wang asing yang bernilai USD 120 bilion akan ditubuhkan berdasarkan Inisiatif Multilateral Chiang Mai. Tabung tersebut bertujuan memberikan bantuan kewangan kepada pelbagai negara yang dilanda krisis kewangan. Di samping itu, negara-negara yang berkenaan kini merancang untuk menubuhkan satu mekanisme yang fungsinya seperti FCL, iaitu RCL bagi mencegah berlakunya krisis kewangan di rantau ini. Perbincangan berhubung dengan hal ini akan diadakan dalam Mesyuarat Naib Menteri Kewangan 10+3 yang akan diadakan di Jepun pada bulan Disember depan. Berlainan dengan tabung Inisiatif Multilateral Chiang Mai yang dikawal secara berasingan oleh pelbagai negara, modal yang terkumpul dalam mekanisme tersebut diharapkan di bawah kawalan yang bersepadu bagi memastikannya lebih berkesan dalam menangani krisis kewangan.








