Cari:
Indonesia Sediakan Peruntukan untuk Membasmi Kemiskinan
2011-09-20 14:12:55 CRI Cetak

Indonesia mencapai kemajuan yang besar dalam usaha membasmi kemiskinan pada tahun 1970-an hingga 1990-an. Menurut statistik, jumlah penduduk Indonesia meningkat kepada 200 juta orang pada tahun 1996 daripada 135 juta pada tahun 1976, manakala jumlah penduduk yang miskin telah menurun secara besar-besar, iaitu menurun kepada 2.25 juta daripada 5.4 juta. Namun, krisis kewangan yang melanda beberapa negara Asia pada akhir tahun 1990-an merosakkan ekonomi Indonesia dengan teruk. Hal ini turut menyebabkan masalah kemiskinan di negara itu meruncing, sehingga kadar penduduk miskinnya mencatat 24.3% pada tahun 1999. Sehubungan dengan itu, kerajaan Indonesia telah mengubahsuai rancangan pembangunannya, dan memberikan keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan di samping memajukan ekonomi.

Kerajaan Indonesia telah melaksanakan program baharu bagi membasmi kemiskinan pada tahun 2007. Program itu bertujuan memperbaiki kehidupan penduduk di kawasan yang ekonominya mundur, dan melibatkan peruntukan kepada pembinaan infrastruktur, pendidikan kanak-kanak, latihan untuk penduduk di kawasan luar bandar dan perkhidmatan perubatan.

Dalam Forum Pembangunan Sosial dan Membasmi Kemiskinan China-ASEAN yang diadakan pada 14 hingga 16 September lalu, Menteri Rancangan Pembangunan Negara Indonesia, Dr. Armida berkata, membasmi kemiskinan merupakan usaha kerajaan yang penting pada suatu tempoh yang panjang. Beliau turut memaklumkan lima pendekatan utama ke arah membasmi kemiskinan, iaitu meningkatkan daya beli penduduk, menjamin perkhidmatan asas dinikmati oleh rakyat, memastikan aktiviti pasaran dijalankan dengan lancar, mengawal populasi dan meningkatkan produktiviti.

Kini, kadar penduduk miskin di Indonesia mencatat 12.49%. Naib Menteri Rancangan Pembangunan Negara yang bertanggungjawab atas hal ehwal ekonomi, Dr. Ali Prasetyo berkata, kadar ini dianggap tinggi walaupun jumlah penduduk yang miskin di negara itu telah menurun. Menurut beliau, usaha membasmi kemiskinan menghadapi pelbagai cabaran termasuk, kadar pengangguran yang mencatat 6.8%, pembangunan yang perlahan di kawasan mundur, kemudahan infrastruktur yang tidak sempurna serta amalan birokratik. Selain itu, pemanasan global, situasi ekonomi sejagat yang tidak menentu, harga sumber tenaga yang berubah secara drastik serta pergolakan di beberapa negara juga memberi pengaruh kepada Indonesia dalam membasmi kemiskinan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China