Penjualan senjata oleh AS kepada ASEAN dijangka akan terus bertambah kerana beberapa negara ASEAN kini dalam proses menggantikan kelengkapan senjata yang lama bagi meningkatkan sistem pertahanan sendiri.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Kedamaian Antarabangsa Stockholm (SIPRI), rantau Asia-Pasifik kini antara pelanggan terbesar senjata keluaran AS berikutan pembelian senjata oleh negara-negara Asia Tenggara yang semakin bertambah. Pada tahun 2010, jumlah perbelanjaan Vietnam dalam bidang pertahanan meningkat 172.8% berbanding dengan tahun 2005, manakala Indonesia meningkat 106%, dan Thailand pula meningkat 96.7%. Statistik daripada SIPRI juga menunjukkan, pembelian senjata AS oleh Singapura merupakan 10% eksport senjata AS pada tahun 2009 dan 2010, sekali gus menjadi pelanggan terbesar dari rantau Asia Tenggara, dan diikuti Thailand dan Malaysia.
Peningkatan kerjasama industri ketenteraan antara negara anggota ASEAN merupakan satu faktor yang menjadikan penjualan senjata AS terus bertambah di rantau ini. Menurut jurucakap Markas Komander Pasifik tentera AS, kerjasama industri pertahanan antara negara ASEAN berfaedah kepada kepentingan AS di rantau Asia Pasifik, dan membantu menyepadukan piawaian kedua-dua pihak dalam sistem kelengkapan senjata.
Menurut penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Strategi dan Isu Antarabangsa AS (CSIS), syarikat pengeluar senjata AS dan beberapa negara Barat yang lain dijangka memberikan lebih banyak perhatian kepada pasaran Asia Tenggara dan India, kerana menyedari bahawa tidak cukup dengan hanya menerokai pasaran domestik dan pasaran NATO sahaja.
Penyelidik kanan daripada Universti Kebangsaan Singapura, Guo Liangping berpendapat, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan peningkatan pembelian senjata AS oleh negara ASEAN. Ini termasuk, pertama, wujudnya perselisihan antara kaum dan wilayah yang berpanjangan di beberapa buah negara ASEAN; kedua, selepas berlakunya kemerosotan ekonomi, AS dikatakan tidak boleh dipercayai dalam menunaikan kewajipannya untuk membantu mempertahankan keselamatan negara sekutunya di rantau ASEAN; "ancaman daripada China" yang diheboh-hebohkan oleh beberapa pihak tertentu menyebabkan rasa bimbang dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara dan keempat, kegiatan lanun yang semakin berleluasa di kawasan perairan rantau ASEAN."








