Tahun ini merupakan Tahun Persahabatan dan Pertukaran China-ASEAN, dan juga merupakan ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN. Sejak 20 tahun lalu, kerjasama saling menguntungkan China dan ASEAN memberikan sumbangan besar untuk mewujudkan kemakmuran ekonomi dan keamanan serantau. Kini, usaha mempergiat kerjasama membawa makna strategik yang besar bagi China dan ASEAN.
Pada 20 tahun lalu, mantan Menteri Luar China, Qian Qichen diundang untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia dan memulakan dialog antara China dengan ASEAN. Mekanisme dialog ini semakin disempurnakan pada tahun-tahun kemudiannya sehingga hubungan kerjasama yang rapat diwujudkan. China dan ASEAN bersama-sama menghadapi cabaran dan memberikan sumbangan besar untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
Dalam tempoh 20 tahun lalu, hubungan antara China dengan ASEAN ditingkatkan dari "rakan dialog" menjadi"rakan strategik". Bagi ASEAN, China banyak mendukung ungkapan"pertama", rakan dagang terbesar bagi ASEAN, negara pertama menganggotai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara, negara pertama yang menjalinkan hubungan rakan strategik dengan ASEAN, negara pertama yang menyokong Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara, negara pertama yang menubuhkan kawasan perdagangan bebas dengan ASEAN, iaitu kawasan perdagangan bebas terbesar antara negara membangun. Kesemua ungkapan "pertama" ini memperlihatkan kecemerlangan kerjasama antara China dengan ASEAN dalam tempoh 20 tahun lalu.
Jika memberi pandangan terhadap 10 tahun kedua pada abad ke-21, mekanisme kerjasama antara China dengan ASEAN yang berkesan akan terus menggalakkan politik dua hala yang saling mempercayai dan mengekalkan kemakmuran ekonomi serta budaya serantau.
Dalam bidang ekonomi dan perdagangan, jumlah dagangan dua hala China dan ASEAN mencatat peningkatan sebanyak 20% setiap tahun, tarif dua hala dibatalkan secara berperingkat-peringkat. Serentak itu, kedua-dua pihak juga berkongsi sumber tenaga dan mengutamakan pelaburan antara satu sama lain untuk memanfaatkan rakyat, di samping menubuhkan kawasan perdagangan bebas China-ASEAN yang menyebabkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi.
Dalam bidang sosiobudaya, China dan ASEAN telah mewujudkan kesalinghubungan dalam tempoh 20 tahun lalu. Pertukaran lawatan dan budaya semakin rancak. Seiring dengan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang semakin rapat, pertukaran sosiobudaya sudah tentu akan bertambah banyak.
Pembangunan China mendapat manfaat daripada kerjasama persahabatan dengan ASEAN, dan akan terus memberikan peluang perkembangan kepada negara ASEAN. China bersedia terus mengekalkan hubungan persahabatan dan berjiran baik dengan negara ASEAN supaya kemakmuran dan kestabilan serantau ini dapat dilestarikan.