Laman sesawang akhbar Lianhe Zaobao Singapura melaporkan bahawa kandungan utama dalam laporan kerja Perdana Menteri Wen Jiabao meliputi sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.5% pada tahun ini; usaha memelihara perkembangan secara damai antara Tanah Besar China dengan Taiwan; tindakan memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan Hong Kong dan Macau; serta penyertaan aktif China dalam urusan pelbagai hala dan sejagat.
Agensi Berita Perancis melaporkan bahawa kerajaan China menurunkan KDNK kepada 7.5% pada tahun ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap eksport dan pelaburan bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi. Perdana Menteri Wen Jiabao dalam laporannya menegaskan bahawa tindakan ini dilakukan bagi
mempercepatkan transformasi pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti dan kecekapan pembangunan ekonomi.
Agensi Berita Kyodo Jepun dalam laporannya semalam telah menyenaraikan lima kandungan utama laporan kerja Wen Jiabao serta menyatakan bahawa kerajaan China menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi buat pertama kalinya sejak tahun 2005. Namun Perdana Menteri Wen Jiabao menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil berat terhadap peningkatan kualiti pembangunan ekonominya. Media Jepun itu juga mengulas bahawa pertumbuhan ekonomi yang mantap dan pembangunan masyarakat yang mapan amat penting bagi China sekarang, di samping menyempurnakan dan membangunkan sistem kewajipan sosial untuk membantu merangsang permintaan domestik.
Agensi Berita Jerman (DPA) melaporkan bahawa Perdana Menteri Wen Jiabao dalam laporannya terlebih dahulu mengimbas kembali kerja kerajaan pada tahun 2011, sebelum membentangkan dasar ekonomi pada tahun ini. Laporan DPA memberikan perhatian kepada kandungan laporan itu tentang "mengutamakan kestabilan dalam pembangunan". DPA melaporkan bahawa PM Wen menekankan kepentingan langkah mengawal inflasi, berkongsi hasil pembangunan di kawasan luar bandar dan menggalakkan kewujudan keamanan sosial akan menjadi agenda utama persidangan NPC dan CPPCC tahun ini.
Agensi Berita Reuters melaporkan dengan panjang lebar akan kandungan laporan kerja Wen Jiabao. Menurut laporan tersebut, tindakan China menurunkan unjuran peningkatan KDNK bermakna kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan ekonomi dengan seimbang dan meringankan tekanan akibat peningkatan harga barangan. Selain itu, laporan Reuters menyatakan bahawa kerajaan China menjadikan tindakan merangsang permintaan domestik terutamanya keperluan pengguna sebagai kerja utama tahun ini.