Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chalerm Ubumrung baru-baru ini mendedahkan bahawa badan kehakiman dan pihak polis berjaya merampas 2.5 juta dadah jenis ekstasi dan 50 kilogram dadah methamphetamine serta menangkap tiga orang yang disyaki sebagai pengedar dadah. Chalerm menegaskan bahawa pengedar dadah tersebut akan dijatuhi hukuman berat dengan segera.
Menurut undang-undang Thailand, penjenayah yang mengedar lebih 100 gram dadah boleh dikenakan hukuman mati. Kini, separuh daripada banduan hukuman mati di Thailand merupakan pengedar dadah. Pada tahun lepas, sekurang-kurangnya tujuh orang dikenakan hukuman mati, tetapi hukuman belum dilaksanakan. Jumlah keseluruhan banduan hukuman mati mencecah 700 orang.
Dalam "tragedi Sungai Mekong" yang berlaku di bahagian utara Thailand pada bulan Oktober tahun lepas, 13 orang anak kapal China ditembak mati. Difahamkan, sembilan anggota tentera Thailand yang terlibat disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengedaran dadah di kawasan sempadan Thailand, Myanmar dan Laos. Kini, kes tersebut masih berada dalam proses pembicaraan. China memandang serius terhadap perkembangan kes itu, khususnya hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka yang terlibat.
Pada tahun lepas, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengumumkan akan memperhebat usaha untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah, dan mengisytiharkan masalah tersebut sebagai masalah peringkat negara yang mesti diutamakan.
Pada bulan ini, pihak polis Thailand telah mengadakan sekatan di beberapa jalan utama di kawasan sekitar Bangkok. Ini merupakan kali ketiga polis Bangkok melaksanakan operasi membanteras pengedaran dadah secara besar-besaran.
Sebelum ini, akhbar Thailand The Nation melaporkan bahawa masalah dadah telah menjadi ancaman terbesar terhadap keselamatan negara. Pengedaran dadah mengakibatkan masalah-masalah sosial seperti rasuah, rompakan, pencurian, penipuan, pelacuran, keluarga porak-peranda dan lain-lain.
Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jenayah pengedaran dadah paling berleluasa di Thailand, Laos, Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Jumlah keseluruhan penagih dadah di kelima-lima negara itu melebihi dua juta orang, yang kebanyakannya adalah golongan muda. Jenayah tersebut telah menjadi ancaman yang besar kepada keselamatan dan kestabilan rantau Asia Tenggara.








