Kemudahan infrastruktur yang kurang sempurna adalah salah satu masalah yang dihadapi oleh negara-negara membangun di Asia, termasuk negara-negara ASEAN. Menurut anggaran yang dibuat oleh Bank Pembangunan Asia(ADB), dalam tempoh 10 tahun akan datang sebanyak USD 8 trilion diperlukan bagi membangun infrastruktur yang bertaraf dunia di pelbagai negara Asia. Sekarang, kemudahan infrastruktur yang agak ketinggalan dianggap satu halangan utama kepada pertumbuhan ekonomi di rantau Asia.
Sehubungan dengan itu, Presiden Bank Pembangunan Asia, Haruhiko Kuroda baru-baru ini menyeru pelbagai negara Asia supaya melabur dalam pendidikan, pembinaan infrastruktur dan dasar-dasar lain untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif di rantau ini.
Naib Presiden Bank Pembangunan Asia, Zhao Xiaoyu pula berkata, negara-negara Asia kini agak kekurangan sumber tenaga dan kemudahan infrastruktur. Menurut beliau, negara-negara Asia kini menumpukan perhatian kepada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas, manakala mengabaikan usaha pembangunan infrastruktur.
Bagaimanapun, sesetengah negara sudah mula mengambil tindakan dengan meningkatkan peruntukan dalam pembinaan infrastruktur. Sementara itu, Bank Pembangunan Asia telah menawarkan dana pembinaan infrastruktur kepada ASEAN pada awal bulan Mei. Dana itu akan membantu mengatasi masalah pembiayaan dalam pelbagai projek infrastruktur di rantau ASEAN, termasuk pembinaan jalan raya, landasan kereta api, loji penjanaan kuasa elektrik dan kemudahan sumber air.
Ahli penyelidik daripada Institut Asia Pasifik Akademi Sains Sosial China, Zhao Jianglin berpendapat bahawa negara-negara Asia perlu mempercepat pembangunan infrastruktur dalam tempoh perindustrian yang pesat ini. Walaupun ini tidak mudah dilaksanakan, terutamanya kerana ia memerlukan modal yang besar, namun pembangunan seumpama ini merupakan satu proses yang mesti dialami oleh negara-negara membangun.
Negara-negara pasaran baru muncul kini menghadapi pengecutan eksport di pasaran antarabangsa. Oleh itu, pelaburan dalam pembinaan infrastruktur domestik merupakan pilihan yang baik. Pelaburan tersebut akan membuahkan hasil dengan cepat, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Pelaburan asing tidak dapat sepenuhnya membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur, oleh itu kerajaan pelbagai negara Asia perlu menghulurkan bantuan kewangan. Ini termasuk memberi pinjaman kewangan dengan kadar faedah yang rendah, mengumpulkan dana melalui pengeluaran bon negara, dan menguntukkan dana khusus untuk pembinaan infrastruktur dalam belanjawan tahunan.








