Berdasarkan laporan tahunan yang diterbitkan oleh Akademi Pelancongan China baru-baru ini, pada tahun 2011, jumlah pelancong China yang melancong ke Kemboja meningkat 231%, manakala Malaysia dan Thailand meningkat lebih 50%. ASEAN sudah menjadi destinasi yang paling pesat berkembang. Antara sepuluh destinasi utama pelancong China, termasuklah empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Singapura. Setiausaha Agung Pusat China-ASEAN, Ma Mingqiang telah menjelaskan ciri-ciri dan trend baharu pelancongan berkenaan.
Menurut beliau, terdapat tiga faktor yang menjadikan pelancong China terpesona dengan negara ASEAN. Pertama, negara ASEAN tidak begitu jauh dari China, jadi masa perjalanannya lebih singkat dan kosnya lebih rendah. Oleh itu, pakej pelancongan yang biasanya selama seminggu amat berpatutan dan mudah menarik pelancong. Kedua, prosedur visa ke ASEAN agak mudah; dan ketiga, sebagai kawasan yang ramai perantau dan orang Cina, ASEAN mempunyai kelebihan dari segi sosiobudaya. Tambahan pula, kos makanan, penginapan dan membeli-belah adalah lebih rendah. Namun, daya tarikan sebenar negara ASEAN adalah sumber pelancongannya yang kaya, cukup sesuai untuk memenuhi keperluan pelancong untuk bersiar-siar dan membeli-belah.
Tambahnya lagi, kini, minat pelancong China ke ASEAN sedang berubah daripada melawat ke metropolitan seperti Singapura, Bangkok dan Kuala Lumpur kepada pelancongan alamiah seperti ke kawasan pantai, gunung dan hutan.
Secara amnya, ASEAN sangat bergantung kepada sektor pelancongan, dan amat mengutamakan pasaran China. Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei Darussalam masing-masing telah menganjurkan promosi pelancongan di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Guiyang dan Jinan.
Sebagai pertubuhan antarabangsa antara kerajaan, Pusat China-ASEAN telah menggunakan pelbagai cara untuk menggalakkan pelancong China ke ASEAN sejak ia ditubuhkan pada akhir tahun lalu. Pada tahun ini, pihaknya telah mengadakan "Seminar Pelancongan Hijau China-ASEAN" dan "Forum Ekonomi dan Perdagangan, Pelaburan dan Pelancongan China-Vietnam" di samping menggunakan media baharu termasuk laman sesawang dan blog mikro.
Ma Mingqiang berkata, Menteri Pelancongan ASEAN telah menandatangani "Pelan Induk Strategi Pembangunan Pelancongan ASEAN 2011-2015" pada awal tahun ini. Salah satu matlamat yang ditetapkan dalam dokumen itu adalah untuk melaksanakan sistem "visa tunggal" dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau mencadangkan supaya ASEAN membahagikan pasaran China secara terperinci dan membekalkan pakej yang berlainan untuk golongan yang berbeza, seperti menyelam, mendaki, melawat tempat bersejarah dan sebagainya.








