Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator (UDD) atau "Baju Merah" mengadakan perhimpunan secara besar-besaran semalam sempena ulang tahun ke-80 pengamalan sistem raja berperlembagaan di negara itu. Para penunjuk perasaan membantah keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand yang mengakibatkan penggantungan pengundian parlimen bagi pemindaan Perlembagaan dan mengemukakan tuntutan pelucutan jawatan 7 orang hakim yang membuang undi menyokong terhadap keputusan itu. Ini merupakan perhimpunan besar-besaran "Baju Merah"yang kedua dalam tempoh sebulan.
"Akta Perdamaian" yang dikemukakan oleh parti pemerintah pada penghujung Mei lalu ditentang hebat oleh parti pembangkang dan beberapa golongan politik negara itu. Menurut Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) atau "Baju Kuning", Akta tersebut bertujuan membebaskan Thaksin Shinawatra daripada sebarang tuduhan dan membolehkan mantan Perdana Menteri itu pulang ke tanah air, malah kembali semula ke arena politik.Di samping itu, pindaan fasal ke-291 Perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen juga dibantah keras oleh parti pembangkang dengan alasan ia bakal mengubah sistem raja berperlembagaan di Thailand.
Pada masa ini, pertelingkahan tentang isu pindaan Perlembagaan dan "Akta Perdamaian" antara parti pemerintah dan parti pembangkang Thailand menembus kebuntuan. Menurut pandangan umum, keputusan mahkamah Perlembagaan menyebelahi parti pembangkang iaitu Parti Demokrat. Manakala, Parti Pheu Thai yang merupakan parti pemerintah mempunyai satu pilihan sahaja, iaitu menangguhkan pemindaan Perlembagaan dan perbahasan bagi "Akta Perdamaian" memandangkan kebuntuan ini. Walau bagaimanapun, strategi yang diambil kedua-dua pihak dalam perselisihan politik ketika ini masih dalam lingkungan sistem undang-undang Thailand.
Menurut penganalisis, pindaan fasal ke-291 Perlembagaan dan "Akta Perdamaian" akan tetap menjadi tumpuan perhatian selepas pembukaan semula parlimen Thailand pada 1 Ogos nanti. Sekiranya pelbagai pihak gagal mencapai persefahaman pada masa itu, kebuntuan politik di Thailand akan berterusan.








