Simposium "Hayati ASEAN-Jiangsu yang Dinamik dan Indonesia yang Mempesonakan" anjuran Pusat China-ASEAN diadakan di bandar Zhenjiang, provinsi Jiangsu China baru-baru ini. Duta Besar Indonesia ke China, Imron Cotan mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan dasar dan iklim pelaburan di negaranya kepada usahawan tempatan yang sedang merancang untuk melabur di Indonesia. Dalam temubual bersama wartawan CRI, Cotan berkata, usaha meningkatkan kerjasama dengan China bukan suatu pilihan, tetapi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kata beliau: "Saya mahu petik pepatah lama negara Barat, iaitu "kita tidak akan menggigit tangan yang memberi mulut makan". Apabila usahawan China memutuskan untuk melabur di Indonesia, mereka akan membawa banyak manfaat. Pertama, aktiviti pelaburan mereka boleh menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Kedua, ia juga membantu meningkatkan kemahiran pekerja tempatan. Dan ketiga, mereka akan memperkenalkan teknologi yang lebih maju kepada industri tempatan. Oleh itu, sudah tentu pelabur dari China dialu-alukan oleh penduduk Indonesia."
Menurut Cotan lagi, peningkatan kerjasama dengan China adalah suatu kemestian. Kata beliau: "Pelbagai pendekatan perlu diambil untuk mengekalkan hubungan yang mesra antara rakyat kedua-dua negara. Ini kerana kerjasama ini amat penting bukan sahaja bagi kalangan rakyat, tetapi juga sektor perniagaan dan hubungan kerajaan. Bagi Indonesia dan China yang merupakan dua negara terbesar di rantau ini, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran serantau sukar diwujudkan jika kedua-dua negara ini enggan bekerjasama."
Ketika menghuraikan hasil penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA), Duta Besar Indonesia ke China itu berkata, salah faham penduduk Indonesia terhadap CAFTA pada masa dulu telah pun dihapuskan sekarang. Kata beliau: "Penandatanganan perjanjian CAFTA pernah menimbulkan rasa sangsi masyarakat umum bukan sahaja di Indonesia, malah negara-negara Asia Tenggara yang lain. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, perjanjian itu telah memberikan kita satu lagi zon perdagangan bebas. Sejak CAFTA mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2010, jumlah perdagangan dua hala Indonesia-China meningkat 300%. Di samping itu, CAFTA juga memainkan peranan yang positif dalam meneraju pelaburan dua hala dan aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara. Oleh yang demikian, boleh dikatakan sudah tiada lagi salah faham terhadap CAFTA."








