Pemandangan menarik Stadium Olimpik di London pada waktu malam yang bermandikan cahaya.
Stadium berkenaan akan menjadi venue upacara perasmian Sukan Olimpik 2012, esok
Menjelang pembukaan rasmi Sukan Olimpik 2012 esok, Presiden Majlis Olimpik Asia, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah berkata, kejayaan penganjuran Olimpik Beijing disebabkan tuan rumah tidak menekankan aspek perbelanjaan mega.
"London berdepan cabaran terbesar kerana temasya di Beijing amat berjaya dan seluruh dunia telah menyaksikan apa yang China lakukan pada temasya berkenaan.
"London sebuah bandar raya terkemuka dan semua orang gembira di sini, namun orang ramai mahu melihat perkara teknikal, benda-benda yang menarik pada majlis perasmian, pertandingan dan venue," katanya.
Beijing menarik perhatian dunia dengan persembahan majlis perasmian yang gilang gemilang serta venue yang berasaskan kesenian, termasuk keunikan Stadium Sarang Burung dan arena akuatik.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik 2012, Sebastian Coe tidak sabar untuk menyaksikan temasya sukan itu bermula secara rasmi esok, walaupun mengakui pengangkutan ke venue-venue pertandingan tetap menjadi kebimbangannya.
Dengan hanya beberapa jam sahaja lagi menjelang majlis perasmian pemenang pingat emas berganding Olimpik itu menjelaskan betapa dia amat bangga dan begitu berharap London 2012 berjaya.
Perasaan itu menyebabkan dia tidak lena tidur.
"Saya teruja. Saya peminat sukan, saya mahu terlibat dalam sukan. Saya mahu melihat atlet terbaik dunia bertanding di venue yang saya rasa amat sensasi dan saya mahu melihat sukan yang menakjubkan, inilah yang dunia nanti-nantikan," katanya.
Coe juga memuji "perjalanan luar biasa" Jawatankuasa Penganjur yang kini semakin hampir untuk menukar Sukan Olimpik London kepada realiti.
Katanya, dia bangga dengan jawatankuasa yang diketuainya kerana mengotakan janji seperti mana ketika London memenangi bidaan penganjuran Olimpik 2012 pada 2005.
"Kami menjanjikan lima perkara ketika membuat bidaan antaranya menempatkan atlet di tengah-tengah temasya, mewujudkan suasana magis, menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia di seluruh dunia dan legasi yang berkekalan.
"Ia merupakan satu perjalanan luar biasa sejak lebih tujuh tahun lalu. Semua janji hampir kami kotakan," katanya.
Sejumlah 205 kontinjen akan menyertai perarakan sempena majlis perasmian di Stadium Olimpik, esok.
sumber--Utusan Malaysia