Cari:
Sukan Olimpik Bawa Pelbagai Nilai Positif
2012-07-27 15:29:44 CRI Cetak

Sukan Olimpik 2012 akan dirasmikan di London pada malam 27 Julai waktu tempatan. Temasya sukan yang diadakan empat tahun sekali itu sentiasa menjadi tumpuan perhatian dunia. Semangat yang disemarakkan oleh Sukan Olimpik iaitu "lebih tangkas, lebih tinggi dan lebih kuat" serta "keamanan, persahabatan dan kemajuan" ini juga dijunjung tinggi dan dikongsi bersama rakyat di pelbagai negara di dunia.

Sukan Olimpik bukan sahaja menyediakan peluang kepada para atlet untuk mencipta rekod baharu, tetapi juga membolehkan pihak penganjurnya menawan hati dunia dengan gambaran yang mempesonakan. Tuan rumah kali ini telah berjaya menonjolkan keistimewaan London sebagai salah satu bandar yang paling penting dalam sejarah perkembangan sosial manusia, terutamanya dalam proses perindustrian. Dengan unsur-unsur sejarahnya serta kelebihan konsep kreaktifnya, bandar itu pasti akan memartabatkan lagi Sukan Olimpik kali ini.

Selain itu, sukan Olimpik diibaratkan sebuah cermin yang menggambarkan perubahan corak ekonomi dan politik antarabangsa. London merupakan satu-satunya bandar di dunia yang pernah menganjurkan temasya sukan itu sebanyak 3 kali. Bandar itu merasai kesan krisis hutang Eropah dan menghadapi pelbagai cabaran untuk menganjurkan acara tersebut, terutamanya dari segi belanjawan, keselamatan serta usaha menangani kesesakan lalu lintas dan masalah mogok. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, David Cameron ‎tetap percaya bahawa Sukan Olimpik boleh menjana pendapatan sebanyak GBP 13 bilion kepada negara itu. Seperti slogan Sukan Olimpik London, "memberikan inspirasi kepada satu generasi", temasya sukan ini turut membawa harapan untuk memulihkan pembangunan negara itu.

Kedamaian merupakan prinsip utama Sukan Olimpik. Menurut resolusi yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) Ke-48 pada tahun 1993, semua negara anggota PBB seharusnya mewujudkan gencatan senjata, menghentikan pertempuran dalam tempoh berlangsungnya Sukan Olimpik serta dalam tempoh seminggu menjelang upacara perasmian dan selepas upacara penutupan temasya sukan ini. Seruan itu akan dipatuhi oleh 193 buah negara anggota PBB sempena Sukan Olimpik di London. Semoga temasya sukan kali ini akan menyemarakkan semangat kedamaian ke merata-rata tempat di dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China