Umat Islam di seluruh dunia kini sedang berpuasa pada bulan Ramadan. Bagaimana pula keadaan atlet Muslim yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik di London?
Pasukan angkat berat dari kontinjen Indonesia menetapkan supaya atletnya makan dan minum seperti biasa bagi memastikan mereka cukup stamina untuk bertanding. Keputusan ini dibuat oleh ketua pasukan angkat berat Indonesia, Lukman. Menurutnya, "Tahun lalu, kami menghadapi kesukaran kerana bulan Ramadan, sama seperti di Sukan Asia Guangzhou pada tahun 2010. Oleh itu, saya membuat keputusan ini: semua atlet yang membuat persiapan bagi Sukan Olimpik tidak perlu berpuasa sebab kelaparan amat berbahaya bagi altet yang mengambil bahagian dalam pertandingan sebegini."
Jaguh angkat berat Indonesia, Irawan yang meraih pingat gangsa dalam pertandingan angkat berat kategori 62 kilogram menjelaskan bahawa beliau tidak berpuasa demi menjamin peluang kemenangan. Namun, selepas berakhirnya bulan Ramadan, beliau akan menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Selain itu, pasukan bola tampar wanita Turki juga tidak berpuasa. Atlet Libya pula diberi kebebasan untuk berpuasa atau tidak bergantung kepada keadaan masing-masing. Menurut ketua pasukan angkat berat Libya, Milad Aguila, separuh daripada atletnya memilih untuk berpuasa, manakala semua anggota kontinjen yang bukan atlet sedang berpuasa.
Sukarelawan stadium Olimpik, Rashid Hazzan merupakan seorang muslim. Setiap hari beliau berpuasa dan berusaha agar puasanya tidak menjejaskan kerja. Berhubung atlet muslim yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, beliau berkata, "Saya rasa mereka perlu makan pada masa yang tepat bagi menjamin prestasi mereka dalam pertandingan. Kalau mereka tidak makan, mungkin mustahil untuk mereka beraksi dengan baik. "