Sukan Olimpik sudah berlangsung selama tiga hari. Walaupun tidak setanding dengan atlet China, AS dan Rusia, atlet-atlet dari Asia Tenggara turut berusaha untuk memenangi pingat bagi negara masing-masing.
Vietnam menghantar kontinjen terbesarnya untuk menyertai Sukan Olimpik London kali ini dengan sejumlah 18 orang atlet untuk bertanding dalam 11 acara. Antaranya, atlet Vietnam pertama kali menyertai 5 acara, iaitu renang, gimnastik, menembak, olahraga dan angkat berat. Ketua Kontinjen Vietnam berkata, para atletnya akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapat hasil yang terbaik dalam temasya sukan kali ini.
Walaupun Vietnam menghantar rombongan yang paling besar dalam sejarah, namun negara tersebut tidak mencapai hasil yang memuaskan dalam pertandingan dua hari pertama. Meskipun atlet Vietnam pernah mendapat pingat perak dalam acara angkat berat pada Sukan Olimpik Beijing, namun kali ini, peserta lelaki dan wanita Vietnam masing-masing gagal untuk mendapat pingat. Di samping itu, atlet lain juga beraksi kurang cemerlang. Menurut media Vietnam, kontinjen negara itu mungkin pulang dengan tangan kosong.
Kontinjen Myanmar pula akan menyertai enam acara di London, termasuk menembak, memanah, mendayung, judo dan olahraga. Namun, setakat ini, tiga orang peserta Myanmar sudah tersingkir dalam pertandingan fasa pertama. Johan Menembak Sukan Asia Tenggara dari negara tersebut, Aung Kyu hanya menduduki tempat ke-39 dalam pertandingan kali ini. Selain itu, beberapa jaguh Sukan Asia Tenggara lain juga tersingkir dalam pertandingan mendayung dan memanah. Selepas ini, atlet Myanmar akan menyertai pertandingan judo dan olahraga, manakala pada 2 Ogos nanti, peserta dari negara tersebut, Aye Aye Aung akan bertanding dengan pemain China dalam pertandingan judo.
Satu lagi negara ASEAN, Kemboja menghantar 6 orang atlet untuk bertanding. Tiga peserta lelaki dan tiga peserta wanita akan menyertai acara angkat berat, olahraga, renang dan Taekwando.