
Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 19 Ogos lalu merupakan salah satu perayaan utama bagi umat Islam dan disambut dengan meriah oleh penduduk tempatan bersama-sama dengan warga asing yang menetap di China.
Menurut kitab suci al-Quran, selepas berpuasa sebulan di bulan Ramadan, penganut Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama bulan kesepuluh menurut kalendar Islam. Rata-rata masyarakat Islam meraikan hari yang mulia ini mengikut adat resam dan cara yang tersendiri.

Di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China, seramai lebih 10 juta umat Islam daripada 10 entik minoriti yang beragama Islam bercuti pada hari lebaran tersebut. Di kawasan kediaman Maipahana di kaunti Wensu, Aqsu di selatan Xinjiang, pertunjukan kesenian yang mempesonakan telah menarik lebih 3,000 penduduk untuk datang menonton. Ketua kawasan kediaman itu, Amanguli Uxiur berkata,
"Semua program kesenian ini disediakan dan dipersembahkan oleh petugas dan penduduk kawasan kediaman kami sendiri. Program tersebut menggambarkan kehidupan penduduk pelbagai etnik dan suasana yang meriah untuk menyambut Hari Raya."
Untuk memastikan bekalan barangan yang mencukupi dan harga yang stabil dalam tempoh perayaan tersebut, dalam tempoh lima hari bermula 14 Ogos, kerajaan Xinjiang telah membekalkan daging kambing pada harga RMB 12 hingga 15 lebih murah daripada harga pasaran kepada 45 buah pasar di 12 buah bandar dan kaunti termasuk Urumqi dan Kashgar.
Pengarah Penyelarasan Operasi Pasaran, Jabatan Perdagangan Xinjiang, Liu Bin memberitahu wartawan,
"Lebih seribu tan daging telah dibekalkan ke pasaran.Kami akan menambah bekalan itu menurut keperluan harian untuk memastikan golongan yang berpendapatan rendah mampu membeli daging yang murah itu."
Di Wilayah Autonomi Hui Ningxia, kawasan yang paling padat penduduk etnik Hui di China, lebih 2 juta umat Islam etnik Hui menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai aktiviti termasuk mengamalkan adat kunjung-mengunjungi, beribadat di masjid, memasak makanan yang istimewa dan lain-lain.

Pada awal pagi, ramai umat Islam entik Hui memakai pakaian yang cantik untuk ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Di Masjid Besar pekan Minning, kaunti Yongning, bandar Yinchuan, seluruh bahagian dalam dan luar masjid dibanjiri umat Islam.
Seorang ulama yang berusia 85 tahun, Xie Shenglin memberitahu wartawan bahawa dasar agama yang dilaksanakan sekarang amat baik. Peruntukan kerajaan kepada kawasan etnik minoriti yang semakin meningkat membolehkan penganut Islam di kawasan itu menyambut pesta ini dengan riang gembira.

Menurut maklumat berkenaan, bermula tahun 2010, cuti umum bagi Hari Raya Aidilfitri di Ningxia telah ditambah kepada dua hari dan jika disambung dengan hujung minggu, penduduk Islam di Ningxia dapat bercuti sepanjang empat hari.
Di Beijing pula, penduduk Islam telah ke masjid di Niujie dan Madian untuk bersolat sunat Aidilfitri. Umat Islam dari Malaysia, Pakistan, Arab Saudi dan negara lain turut bersama-sama penduduk Islam tempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan.








