Keanggotaan Hong Kong dalam Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) hangat dibincangkan dalam Persidangan Menteri Ekonomi ASEAN ke-44 yang bermula di Siem Reap pada 27 ogos lalu. Kajian menunjukkan bahawa keanggotaan Hongkong tersebut akan membantu mendorong integrasi ekonomi serantau dan bermanfaat bagi pembangunan kerjasama yang saling menguntungkan antara China dengan negara-negara berkenaan.
Menurut kajian tersebut, eksport ASEAN ke China akan meningkat 28% jika Hong Kong menganggotai CAFTA. Peningkatan ketara bakal dilihat khususnya dalam industri pembuatan makanan, produk elektronik, perkhidmatan kewangan, insurans dan industri pembinaan.
Keanggotaan Hong Kong juga akan membawa pelbagai keuntungan yang lain kepada ASEAN. Pelaburan syarikat China ke ASEAN dijangka akan terus meningkat sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di rantau itu.
Selain itu, keanggotaan tersebut juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi Hong Kong dan membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan perkapalan. Syarikat ASEAN juga akan mendapat peluang untuk menubuhkan ibu pejabat serantau di Hong Kong supaya dapat memudahkan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) berdasarkan perkhidmatan kewangan tempatan yang agak profesional. Trend tersebut juga akan meneraju perkembangan Hong Kong yang selanjutnya dalam sektor tersebut.
Presiden Pertubuhan Perdagangan China Hong Kong, Cai Guanshen berkata, Hong Kong memainkan peranan yang amat penting bagi perdagangan antara China dengan ASEAN. Kedudukan tersebut akan semakin ditingkatkan jika Hong Kong dapat menganggotai CAFTA. Hong Kong akan menjadi platform kerjasama yang lebih lengkap bagi syarikat China dan ASEAN bahkan mendorong kerjasama yang "menang-menang".