Setelah Sukan Olimpik London berakhir dengan gemilang dua minggu lalu, Sukan Paralimpik pula dirasmikan hari ini. Britain sebagai negara tuan rumah sudah bersedia untuk temasya sukan tersebut.
Semalam, pegawai-pegawai dari jabatan kerajaan yang bertanggungjawab telah mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkembangan kerja persiapan bagi temasya sukan tersebut. Datuk Bandar London, Boris Johnson menyatakan bahawa kerajaan bandar tersebut telah banyak melabur untuk melengkapkan kemudahan bagi Sukan Paralimpik. Menurutnya,
"Penganjuran Sukan Paralimpik merangsang pelaburan kerajaan London untuk memperbaiki sistem lalu lintas khususnya sistem kereta api bawah tanah. Pada masa ini, sebanyak 66 stesen kereta api bawah tanah dilengkapi dengan kemudahan bagi orang kurang upaya. Kami akan menggunakan pelaburan kerajaan untuk terus memperbaiki dan mendorong pembangunan sistem pengangkutan awam di London."
Menteri Sukan Britain, Hugh Robertson berkata,
"Cita-cita kami adalah untuk menganjurkan Sukan Paralimpik yang terbaik dan terbesar dalam sejarah. Kerja persiapan bagi temasya sukan tersebut sedang berjalan lancar. Bilangan tiket yang terjual amat tinggi, dan kami juga dapat menarik lebih ramai atlet dan badan penyiaran untuk menyertai temasya sukan tersebut. Pada pendapat saya, Sukan Paralimpik kali ini akan menjadi yang paling baik dalam sejarah."
Berhubung keselamatan ketika Sukan Paralimpik, Pegawai Koordinasi Keselamatan Sukan Olimpik Britain, Chris Allison berkata, kejayaan pihak polis pada Sukan Olimpik sebelum ini perlu dijadikan contoh bagi temasya kali ini meskipun skalanya lebih kecil.
Seawal tahun 1948, London pernah menganjurkan Sukan Paralimpik yang pertama. Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik London, Paul Deighton berkata, Sukan Paralimpik memainkan peranan yang penting untuk mempromosikan sukan dan mendorong pembangunan sosial.
4,200 orang atlet dari 166 negara akan berjuang dalam Sukan Paralimpik kali ini. Kontinjen China terdiri daripada 417 orang, antaranya, 282 orang atlet yang akan bertanding dalam 15 acara.