Cari:
Hun Sen Puji Persahabatan China-Kemboja
2012-09-03 15:14:08 CRI Cetak

Kerjasama China-Kemboja amat meluas dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, serta memainkan peranan yang penting dalam proses integrasi ASEAN. Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen ketika diwawancara di Urumqi, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang semalam.

Hun Sen berkata, pada tahun 2010, beliau dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao mencapai persepakatan untuk menjalinkan hubungan rakan kerjasama strategik yang menyeluruh antara China dan Kemboja, dan meningkatkan jumlah perdagangan bilateral sehingga mencapai USD 2.5 bilion menjelang tahun 2015. Baru-baru ini, jumlah berkenaan sudah pun melebihi sasaran tersebut. Berhubung hal ini, Hun Sen berkata,

"Ketika Presiden Hu Jintao mengadakan lawatan ke Kemboja baru-baru ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menetapkan sasaran baharu jumlah perdagangan, iaitu USD 5 bilion menjelang tahun 2017. Saya yakin, sasaran tersebut boleh dicapai. Untuk itu, kami akan memelihara persekitaran ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang kondusif sambil menggalakkan perkembangan industri pelancongan."

Menurut Hun Sen, sempena ulang tahun ke-55 terjalinnya hubungan diplomatik, dan Tahun Persahabatan China-Kemboja pada tahun hadapan, pelbagai program dan akitiviti akan diadakan untuk memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara. Beliau turut memuji mutu penyiaran Radio Persahabatan China-Kemboja yang dikendalikan bersama oleh Radio Antarabangsa China (CRI) dan Radio Kebangsaan Kemboja, khususnya siaran warta berita. Katanya,

"Kerjasama dalam kalangan media seumpama ini berjaya meningkatkan persefahaman antara China dan Kemboja. Radio Persahabatan berkenaan menyediakan maklumat yang diperlukan untuk membolehkan rakyat Kemboja mengetahui keadaan China dan situasi dunia. Saya berharap, sempena ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik China-Kemboja, radio persahabatan itu mampu menyampaikan lebih banyak program yang menarik kepada rakyat Kemboja."

Hun Sen juga menyatakan bahawa sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN, Kemboja akan memainkan peranannya untuk memastikan ekonomi ASEAN berkembang dengan mapan. Beliau turut mengiktiraf peranan penting China dalam proses integrasi ASEAN.

Menyentuh mengenai hubungan China-ASEAN pula, Hun Sen berkata, walaupun isu pertikaian Laut China Selatan adalah isu yang hangat, tetapi ia tidak seharusnya menjadi halangan kepada hubungan kedua-dua pihak. Pelbagai pihak berkenaan perlu bersama-sama menyelesaikan isu tersebut dengan semangat persahabatan dan kerjasama.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China