Forum Ekonomi Davos Musim Panas Tahun 2012 diadakan di Tianjin pada 11 hingga 13 September lalu dengan tema "membentuk ekonomi masa depan". Perwakilan dari negara ASEAN berpendapat bahawa ASEAN perlu memainkan peranan sendiri dalam proses tersebut, bahkan harus mempertimbangkan pembangunan seluruh Asia selain perkembangannya sendiri.
Timbalan Presiden Institut Pembangunan Perniagaan dan Hubungan Luar, Universiti Pengurusan Singapura (SUM), Annie Koh berkata, ekonomi China dan pembangunan komuniti ekonomi ASEAN menjadi tumpuan bersama tokoh politik dan sarjana ASEAN. Kata beliau,
"Saya amat mengambil berat terhadap petunjuk ekonomi China dalam tempoh setengah tahun yang lalu. Walaupun saya pasti kadar pertumbuhan ekonomi China dapat dikekalkan pada kadar melebihi 8%, tempias krisis gadai janji subprima Eropah dan kemerosotan ekonomi A.S. terus berlarutan dan mungkin menyebabkan kadar tersebut lebih rendah pada masa depan. Oleh itu, pada pendapat saya, lebih baiklah China mengekalkan kadar itu pada 7% untuk tiga tahun yang akan datang. Sebagai negara gergasi, mencapai pertumbuhan pada kadar dua atau tiga kali ganda setiap tahun tidak mudah. Seiring dengan penggantian pemimpin penggal baru tidak lama lagi, ekonomi China diharap stabil pada 5% hingga 8%."
Tegasnya lagi, semua negara membangun di Asia sedang bertungkus-lumus membebaskan diri daripada kesan negatif kemelesetan ekonomi global. Asia termasuk ASEAN sepatutnya bekerjasama bagi menangani krisis ekonomi. Walau bagaimanapun, beberapa negara Asia mula mengamalkan sekatan perdagangan untuk melindungi diri daripada pengaruh berkenaan. Ini tidak seharusnya berlaku, kerana pertumbuhan ekonomi Asia bergantung pada perdagangan dalaman dan peningkatan pengeluaran.
Dalam tempoh forum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Dato Seri Mustapa Mohamed telah berbincang mengenai latihan dan aliran tenaga manusia, serta inovasi dan teknologi demi meningkatkan daya saing serantau dengan ahli-ahli perniagaan yang hadir. Beliau berkata,
"Komuniti ekonomi ASEAN bakal siap dibina menjelang tahun 2015. Pada masa itu, rantau ini akan bertambah kompetitif. China, A.S. dan Rusia telah pun menunjukkan kesediaan masing-masing untuk bekerjasama. Syarikat-syarikat multinasional yang hanya fokus kepada sesebuah negara ketika memasuki pasaran ASEAN pada 15 tahun yang lalu kini menumpu kepada seluruh ASEAN yang berpenduduk 6 bilion dan sedang mengalami pertambahan kelas menengah. Meskipun terpaksa menghadapi banyak masalah dan cabaran, kita akan terus berusaha. Pengalaman Kesatuan Eropah juga akan kita jadikan teladan."