Cari:
Kongres Kebangsaan Parti Komunis China Jadi Tumpuan Dunia
2012-10-30 15:31:03 CRI Cetak

Kongres Kebangsaan Ke-18 Parti Komunis China (CCP) yang bakal diadakan pada 8 November nanti menjadi tumpuan perhatian masyarakat antarabangsa. Malah, menurut media Singapura, persidangan itu setanding dengan pilihan raya Presiden AS yang dianggap sebagai peristiwa penting di dunia pada tahun 2012.

Kebelakangan ini, pelbagai peristiwa penting telah meletakkan China di mata dunia. Selain ekonomi negara ini yang berjaya mengharungi "tempoh terburuk" dalam sejarah dan pertikaian berhubung Pulau Diaoyu antara China dan Jepun, kejayaan penulis negara ini, Mo Yan meraih Anugerah Kesusasteraan Nobel juga menyerlahkan trend pertumbuhan dan pembangunan yang dialami China buat masa ini.

Pada masa yang sama, hubungan antara China dengan dunia luar juga telah berubah ekoran peranan China yang semakin penting di dunia. Sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia, China juga memberikan pengaruhnya kepada dunia dari segi politik dan kebudayaan. Oleh yang demikian, Kongres Kebangsaan CCP menjadi peluang bagi media asing yang berminat untuk mendapatkan idea dan konsep baharu daripada persidangan tersebut, terutamanya mengenai hala tuju pembangunan negara ini.

Sudah tentu tidak wujud model pembangunan yang sesuai untuk semua negara di dunia. Selepas mempertimbangkan dengan teliti keadaan negara sendiri, China berjaya meneroka model pembangunan yang tidak pernah ditempuhi mana-mana negara sebelum ini. Tempoh 10 tahun akan datang dianggap tempoh kritikal bagi pencapaian matlamat pembangunan "masyarakat makmur" menjelang tahun 2020. Apakah pendekatan yang bakal dilaksanakan untuk memastikan matlamat ini tercapai dan apakah kaedah untuk mewujudkan pembangunan yang berterusan? Pelbagai persoalan tersebut dijangka akan dijawab dalam Kongres Kebangsaan CCP pada tahun ini.

Oleh sebab rantau Asia-Pasifik dianggap mampu mengekalkan pembangunan yang pesat dalam tempoh yang panjang, beberapa negara termasuk AS dan Australia telah mengemukakan strategi untuk "kembali ke Asia-Pasifik". Sejajar dengan kebangkitan rantau itu, negara-negara tersebut sudah pasti akan berurusan dengan China. Maka, Kongres Kebangsaan CCP pasti akan menjadi tumpuan perhatian pelbagai negara kerana ia bukan sahaja mempunyai makna penting terhadap pembangunan China, malah akan membentangkan pendirian negara ini dalam pembangunan semasa dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China