Lebih 2,000 orang wakil dari seluruh China telah tiba di Beijing untuk menghadiri Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China (PKC) yang akan dirasmikan esok. Lima aspek dalam kongres tersebut menjadi tumpuan rakyat China dan masyarakat antarabangsa.
Pertama, tampuk pimpinan pusat yang baharu akan dipilih dalam kongres tersebut dan sidang pleno pertama Jawatankuasa Pusat ke-18 PKC yang bakal diadakan selepasnya. Pendekatan pucuk pimpinan baharu itu untuk terus menggalakkan pembangunan sosialisme yang bercirikan China, amat menarik perhatian seluruh dunia.
Kedua, merangka cetakan biru pembangunan yang baharu. Perancangan dan penyusunan strategi pembaharuan dan pembangunan negara merupakan misi utama setiap Kongres Kebangsaan PKC. Kini, rakyat China amat prihatin terhadap gagasan dan inisiatif baharu dalam laporan yang akan dikeluarkan oleh Kongres Kebangsaan PKC kali ini.
Ketiga, menyusun usaha memperdalam pembaharuan. Kini, pembaharuan sokongan bersepadu dewasa ini menghadapi pelbagai rintangan kerana usaha tersebut melibatkan penyusunan semula kepentingan-kepentingan yang berkenaan. Namun, rakyat amat menanti-nantikan pelaksanaan pembaharuan yang lebih mendalam untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan sosial.
Keempat, menggalakkan keadilan sosial dan mempercepatkan penyelesaian isu-isu utama dalam bidang kesejahteraan rakyat. Rakyat China menanti-nantikan penyempurnaan sistem pelbagai bidang termasuk perubatan dan kesihatan, pendidikan, jaminan sosial serta perumahan, supaya hasil pembaharuan yang berkenaan dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Kelima, memperkasakan pembangunan PKC. Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, anggota PKC di seluruh China telah meningkat daripada lebih 66 juta orang kepada lebih 84 juta orang. Kaedah untuk mengekalkan PKC sebagai parti yang progresif dan telus merupakan topik penting dalam kongres tersebut. Kongres Kebangsaan PKC kali ini akan turut membuat pindaan terhadap Perlembagaan PKC berdasarkan situasi semasa dan perubahan misi parti tersebut.
Dapatan Kongres Kebangsaan PKC kali ini diharap dapat mempertingkatkan keupayaan pentadbiran PKC, menyempurnakan sistem pemilihan dan pelantikan pegawai bagi membina sebuah kerajaan dan parti yang telus, sekali gus menggalakkan pembangunan parti secara menyeluruh.