Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Hu Jintao dalam upacara perasmian Kongres Kebangsaan ke-18 PKC yang diadakan di Beijing hari ini menegaskan bahawa PKC akan terus memimpin rakyat China untuk menempuh jalan sosialisme yang bercirikan China.
Dalam upacara tersebut, Hu memulakan laporannya dengan prolog yang ringkas. Memandangkan kedudukan PKC sebagai parti pemerintah telah ditetapkan oleh Perlembagaan China, maka laporan Hu Jintao tersebut bertujuan untuk menggariskan dasar, objektif dan inisiatif PKC untuk tempoh lima tahun yang akan datang, sekali gus membimbing pembangunan dan perkembangan China.
Pada masa ini, PKC menghadapi semakin banyak cabaran dan kesukaran dalam pentadbirannya, di samping masyarakat antarabangsa amat memberi perhatian terhadap masa depan pembangunan China. Hu Jintao dalam laporannya turut membentangkan secara terperinci rancangan pembangunan China pada masa depan, bahkan mengemukakan kaedah penyelesaian isu-isu pembangunan sosioekonomi China.
Tumpuan pertama: mengekalkan pertumbuhan ekonomi secara lestari dan sihat.
Laporan itu menyebut, China akan memperdalam pembaharuan sistem ekonomi secara menyeluruh pada masa depan, melaksanakan strategi pembangunan yang dimangkin oleh inovasi, menggalakkan pengubahsuaian struktur ekonomi secara strategik, menggalakkan perkembangan integrasi bandar dan kawasan luar bandar, serta meningkatkan taraf ekonomi terbuka. Hu Jintao menegaskan, kita mesti memahami peri pentingnya permintaan domestik bagi mempercepat penubuhan mekanisme jangka panjang yang berkenaan. Kita juga perlu melaksanakan dasar dan langkah-langkah yang lebih memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi sebenar, menggalakkan pertumbuhan industri baru muncul dan perkilangan secara sihat.
Tumpuan kedua: mempercepat pembaharuan politik dan penyempurnaan demokrasi.
Hu dalam laporannya menegaskan lagi peranan penting pembaharuan sistem politik dalam pembaharuan China secara menyeluruh. Fokus utama adalah memastikan kuasa negara dilaksanakan oleh rakyat melalui Kongres Rakyat. Kadar perwakilan Kongres Rakyat daripada kalangan akar umbi, khususnya pekerja, kaum tani dan cendekiawan perlu dipertingkat.
Menurut laporan itu lagi, PKC akan mengukuhkan mekanisme rundingan politik dengan pelbagai parti lain serta meningkatkan keberkesanan mekanisme tersebut. Tegasnya, segala keputusan yang dibuat PKC mesti selaras dengan Perlembagaan dan undang-undang China yang berkenaan.
Tumpuan Ketiga: Memperbaiki Kehidupan Rakyat, Memelihara Ekuiti Sosial
Menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat bagi membolehkan rakyat menikmati hasil dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Ini salah satu tumpuan utama PKC dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Makna yang penting usaha ini sekali lagi ditekankan dalam laporan Hu.Beliau menegaskan, bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua rakyat jelata, PKC mesti memperdalam pembaharuan sistem pengagihan pendapatan. Beliau berkata:
"Kita perlu berusaha mencapai pertumbuhan pendapatan penduduk yang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara, menyelaraskan penambahan pendapatan individu dengan peningkatan tahap produktiviti, serta meneroka lebih banyak saluran untuk meningkatkan pendapatan penduduk. Selain itu, kita mesti menyeragamkan kaedah pengagihan pendapatan, melindungi pendapatan yang sah, meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah, mengawal pendapatan yang terlalu tinggi, dan mengharamkan pendapatan yang haram."
Tumpuan Keempat: Pembangunan tamadun ekologi
Seiring dengan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi China yang pesat, tekanan terhadap sumber dan alam sekitar semakin meningkat. Oleh sebab itu, laporan kali ini buat kali pertama menghuraikan dan menegaskan peri pentingnya pembangunan tamadun ekologi. Hu berkata:
"Keseimbangan antara keperluan penduduk dengan sumber dan alam sekitar perlu dicapai, berlandaskan prinsip pembangunan sosioekonomi yang mementingkan sistem ekologi. Kita perlu menyelaraskan struktur ruangan, memberi lebih banyak peluang untuk kerja pemuliharaan alam semula jadi dan menguntukkan lebih banyak tanah bagi industri pertanian, untuk memastikan generasi yang akan datang dapat melihat langit yang biru, bumi yang hijau dan air yang jernih."
Sementara itu, Hu dalam laporan tersebut menyatakan, China akan meningkatkan keupayaan penerokaan sumber laut, mengembangkan ekonomi laut, memelihara persekitaran ekologi laut, memelihara hak dan kepentingan maritim negara demi membangunkan China sebuah kuasa maritim yang kuat.
Tumpuan kelima: Meningkatkan pembangunan parti, menentang kegiatan rasuah
Hu Jintao dalam laporan tersebut menegaskan bahawa menentang kegiatan rasuah dan membina sebuah parti politik yang bersih, cekap dan amanah merupakan pendirian PKC. Katanya,
"Sistem kongres parti perlu disempurnakan, kadar perwakilan pekerja dan kaum tani harus ditingkatkan, demokrasi di peringkat akar umbi dalam parti mesti diperluas, yang akhirnya akan meningkatkan kewibawaan dan ketelusan PKC."
Berhubung dengan perkembangan pertahanan dan pasukan tentera, Hu menegaskan bahawa China mengekalkan dasar pertahanan yang bersifat defensif. Negara ini menyasaran peningkatan pertahanan untuk memelihara kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah negara, dan menjamin pembangunan secara damai.
Selain itu, Hu juga menegaskan lagi, China memegang prinsip pembangunan dan kerjasama secara damai dan menang-menang dalam isu hubungan diplomatik. Beliau berkata,
"Kita akan memperbaiki dan mengembangkan hubungan dengan negara-negara maju, memperluaskan bidang kerjasama, menangani perselisihan dengan baik dan mendorong penjalinan hubungan jangka panjang yang stabil dan sihat antara kuasa-kuasa besar. Kami akan mengekalkan persahabatan dengan negara-negara jiran, meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan untuk bersama-sama mengecapi kemakmuran."Akhirnya, Hu menyatakan, rakyat China mencintai kedamaian dan inginkan pembangunan. Rakyat negara ini bersedia bersama-sama rakyat seluruh dunia membuat sumbangan yang lebih besar ke arah mewujudkan keamanan dan pembangunan manusia.