Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China (PKC) dirasmikan di Dewan Besar Rakyat Beijing pagi semalam. Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Hu Jintao membentangkan laporan yang berjudul "Mengekalkan Laluan Sosialisme Bercirikan China, Berusaha Mewujudkan Masyarakat Makmur". Pemimpin-pemimpin yang lain, Wu Bangguo, Jia Qinglin, Li Changchun, Xi Jinping, Li Keqiang dan Zhou Yongkang secara berasingan menyertai perbincangan dengan para perwakilan kongres ini petang semalam.
Ketika menyertai perbincangan dengan perwakilan provinsi Anhui, Wu Bangguo berkata, laporan Hu tersebut merupakan panduan bagi mencapai kejayaan yang baharu dalam pembangunan sosialisme yang bercirikan China dan mewujudkan masyarakat makmur.
Wen Jiabao dalam perbincangan dengan perwakilan Tianjin menegaskan, laporan Hu telah menyimpulkan pengalaman pembangunan parti dan negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lalu dan mengemukakan sasaran China pada lima tahun bahkan jangka panjang. Anggota parti patut membahaskan laporan itu dengan teliti dan bersungguh-sungguh mendorong pengembangan sosialisme yang bercirikan China.
Jia Qinglin dalam perbincangan dengan perwakilan Beijing menyatakan, China akan terus membangunkan sosialisme bercirikan China berdasarkan teori Deng Xiaoping, pemikiran "Tiga Mewakili" dan konsep pembangunan secara saintifik, serta mengekalkan laluan pembangunan sosialisme bagi menyempurnakan sistem demokratik permesyuaratan untuk mewujudkan masyarakat makmur.
Li Changchun pula berpendapat, pembangunan sosialisme dan pengembangan budaya dalam proses mewujudkan masyarakat makmur perlu dikekalkan, semasa perbincangan dengan perwakilan provinsi Sichuan.
Xi Jinping yang menyertai perbincangan dengan perwakilan Shanghai menegaskan, kongres ini merupakan sidang yang amat penting dalam fasa mewujudkan masyarakat makmur di China. Perwakilan perlu membuat perbahasan yang teliti terhadap laporan dan draf pindaan Perlembagaan PKC, serta memilih ahli Jawatankuasa Pusat ke-18 dan Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-18.
Li Keqiang dalam perbincangan dengan perwakilan provinsi Shandong berkata, laporan Hu menunjukkan hasrat PKC dan rakyat China untuk mencapai kejayaan yang baharu dan mewujudkan masyarakat makmur.
He Guoqiang ketika menyertai perbincangan dengan perwakilan Fujian berkata, China akan terus mengekalkan pembangunan sosialisme, melaksanakan pelbagai rancangan dalam kongres ini, menggalakkan usaha antirasuah dan memberikan jaminan untuk mewujudkan masyarakat makmur.
Zhou Yongkang yang menegaskan sokongan beliau dalam perbincangan dengan perwakilan wilayah Xinjiang berkata, laporan Hu menjelaskan teori dan isu-isu berkaitan dengan pembangunan PKC dan negara. Ia merupakan manifesto politik PKC dalam pembangunan sosialisme dan pemikiran yang menjadi panduan untuk mewujudkan masyarakat makmur dan meneroka situasi baharu pembangunan sosialisme yang bercirikan China.