Dalam Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China (PKC) yang sedang berlangsung di Beijing sekarang ini, PKC sebagai pemerintah China membahaskan laporan berhubung dasar yang melibatkan pembangunan negara dan dasar luar pada masa depan. Laporan itu menegaskan China menggalakkan penjalinan hubungan baharu yang stabil, sihat dan berpanjangan dengan kuasa besar, dan berusaha membangunkan negara sendiri sehingga limpahannya dapat dikongsi negara jiran. Laporan itu adalah jawapan yang baik terhadap perhatian pihak luar terhadap dasar luar China yang sedang mengalami perubahan pesat.
Ahli penyelidik Institut Kajian Strategik Antarabangsa Sekolah Parti Jawatankuasa Pusat PKC, Profesor Gao Zugui menganggap bahawa dasar luar China yang disampaikan dalam laporan itu sejajar dengan kaedah yang sentiasa dipegang oleh China, iaitu meningkatkan persahabatan dan kerjasama dengan negara-negara jiran. Kerjasama yang saling menguntungkan yang terlaksana pada beberapa tahun yang lalu telah menjadikan China rakan perdagangan terbesar bagi kebanyakan negara jiran termasuk Jepun. China akan terus menggalakkan kerjasama serantau yang "menang-menang" pada masa depan.
"Pada beberapa tahun yang lalu, perkembangan pesat sosioekonomi China membuat bukan sahaja jirannya bahkan seluruh dunia berhasrat berkongsi hasil pembangunannya. Pada masa depan, China mempunyai lebih banyak peluang untuk berkongsi lebih banyak hasil pembangunan dengan negara lain. Contohnya, dalam usaha mengubahsuai corak pembangunan China pada masa depan, jumlah import dan pelaburan di luar akan meningkat dengan besar."
Baru-baru ini, pertikaian wilayah dan hak maritim antara China dengan negara jiran menjadi tumpuan umum. Wartawan Jepun, Inoue Yoichi memberitahu wartawan, beliau telah mendapat tahu bahawa China akan mempertahankan dengan tegas hak dan kepentingan maritimnya. Manakala, Naib Dekan Universiti Hal Ehwal Luar China, Qin Yaqing berpendapat,
"Dalam laporan itu, kami menegaskan bahawa China akan memelihara hak dan kepentingan maritimnya. Sebarang negara yang berdaulat pasti akan mengambil langkah yang sedemikian penting. Namun, laporan itu juga menegaskan bahawa strategi pertahanan negara China adalah bersifat defensif, ini juga tidak berubah. Prinsip China untuk menyelesaikan isu wilayah melalui rundingan yang juga tidak akan berubah."
Suara-suara yang mempersoalkan China, sebuah negara yang berpenduduk seramai 1.3 bilion, dengan wilayah yang luas dan pembangunan yang pesat tidak pernah berhenti. Laporan Kongres Kebangsaan ke-18 PKC menegaskan lagi bahawa China akan terus berpegang teguh pada prinsip mengutamakan kedamaian, pembangunan, kerjasama dan konsep "menang-menang".