Cari:
Xi Jinping Komited Berkhidmat Untuk Rakyat
2012-11-16 13:22:15 CRI Cetak

Parti pemerintah China, Parti Komunis China (PKC) telah membentuk kumpulan pemimpin baharunya semalam. Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC baharu, Xi Jinping bersama-sama enam pegawai yang turut dipilih sebagai anggota tetap Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC bertemu dengan wartawan dari dalam dan luar China. Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa kumpulan pemimpin baharu itu akan komited dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap bangsa, rakyat dan parti.

Antara tujuh orang pemimpin PKC tersebut, Xi Jinping dan Li Keqiang yang masing-masing dilahirkan selepas Republik Rakyat China ditubuhkan pada Oktober tahun 1949, sudah pun menganggotainya sejak penggal lalu, manakala lima anggota lain pertama kali dipilih sebagai anggota tetap Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC.

Dalam sidang media bagi para pemimpin tersebut bertemu dengan wartawan, pihak media mendapati bahawa perkataan "tanggungjawab" dan "rakyat" disebut berulang kali dalam ucapan Xi Jinping. Kata beliau,

"Tanggungjawab kami adalah menyatupadukan dan memimpin anggota PKC dan rakyat sepertimana yang telah ditetapkan oleh sejarah dan terus berjuang demi pembangunan bangsa China. Kami juga akan bertanggungjawab meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat dalam kehidupan dan pekerjaan mereka, serta berpegang teguh pada prinsip menikmati kemakmuran bersama-sama. Selain itu, kami juga bertanggungjawab memantau dan mengawal PKC dengan ketat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang sedia ada."

Ucapan Xi Jinping dalam sidang media itu turut menggambarkan keprihatinan kumpulan pemimpin baharu terhadap rakyat. Xi Jinping menegaskan bahawa cita-cita rakyat sentiasa menjadi sasaran perjuangan mereka. Kata beliau,

"Rakyat mahukan sistem pendidikan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih stabil dan pendapatan yang lebih memuaskan serta menikmati jaminan sosial, perkhidmatan perubatan yang bertaraf tinggi, keadaan hidup yang lebih selesa dan alam sekitar yang lebih indah. Rakyat berharap kanak-kanak dapat membesar dengan lebih sihat, situasi pekerjaan dan taraf hidup bertambah baik. Semua hasrat ini merupakan sasaran perjuangan kami."

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping mewakili kumpulan pemimpin baharu itu menyampaikan keazamannya untuk terus menggalakkan pembaharuan dan pintu terbuka. Beliau menegaskan akan terus membebaskan pemikiran, mengekalkan usaha pembaharuan dan pintu terbuka, serta memupuk dan membangunkan tenaga produktif sosial secara berterusan.

Tentang masalah rasuah, Xi Jinping menyatakan,  

"PKC menghadapi banyak cabaran dalam situasi yang baharu, banyak masalah yang wujud dalam parti kita perlu diselesaikan. Terutamanya, masalah yang melibatkan kegiatan rasuah, sikap menjauhkan diri daripada rakyat, formalisme dan fahaman birokrasi mestilah segera diselesaikan. Anggaplah ini amaran kepada semua anggota PKC."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China