Cari:
Bank Singapura Optimistik Terhadap Pasaran China
2013-01-31 14:16:59 CRI Cetak

Dalam tempoh 30 tahun sejak pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China, semakin banyak syarikat asing mencari peluang perniagaan dalam pasaran negara ini, manakala semakin banyak syarikat China aktif meneroka pasaran di luar negara. Dalam proses ini, bank memainkan peranan yang penting dalam menyediakan sokongan modal dan pembayaran perdagangan. Bahkan, pelbagai bank asing telah menjadi wahana komunikasi antara syarikat China dengan syarikat asing. Bank DBS Singapura tidak terkecuali.

"Keputusan untuk memasuki pasaran China merupakan salah satu strategi paling bijak bagi Bank DBS," ulas Naib Presiden cawangan Bank DBS di Suzhou, Alex Chua ketika diwawancara baru-baru ini.

Bank DBS yang dahulunya Bank Pembangunan Singapura, merupakan bank komersial yang terbesar di Singapura. Ia telah membuka lebih 200 cawangan di seluruh dunia. Setelah memasuki pasaran China, DBS giat mempromosikan pengalaman kejayaannya di negara-negara lain di rantau Asia kepada China, iaitu semua perkhidmatan berorientasikan keperluan pelanggan yang berbeza. DBS juga menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memenuhi keperluan syarikat China termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin meneroka pasaran luar negara.

Pada tahun 1998, DBS tersenarai antara 10 buah bank asing yang paling awal dibenarkan mengendalikan urus niaga RMB. Ini telah banyak memudahkan urus niaganya di China. Sementara itu, dengan memanfaatkan mekanisme komunikasi Majlis Penyelarasan Bersama China-Singapura, proses kelulusan untuk penubuhan agensi DBS di China dipercepat, sekali gus memangkin perkembangannya di negara ini.

Ketika menyebut tentang masa depan DBS di China, Alex Chua berkata bahawa pihaknya berasa amat optimistik. Pertumbuhan ekonomi China akan memainkan peranan yang positif dalam menjana ekonomi dunia. Dengan rangsangan permintaan domestik berikutan langkah pengubahsuaian struktur ekonomi China serta jaminan hubungan persahabatan yang erat antara China dan Singapura, urus niaga DBS di China dijangka berkembang ke tahap yang baharu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China