China dan ASEAN perlu terus mengeratkan kerjasama dan dialog bagi meningkatkan hubungan kedua-dua pihak ke tahap yang lebih tinggi. Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN yang baharu, Le Luong Minh di Jakarta ketika menerima temu ramah baru-baru ini. Mantan Timbalan Menteri Luar Vietnam itu menyandang jawatan Setiausaha Agung ASEAN secara rasmi pada 9 Januari lalu.
Ketika menilai hubungan ASEAN-China, Le Luong Minh berkata, sejak China menjalinkan hubungan rakan dialog yang menyeluruh dengan ASEAN pada tahun 1996, hubungan kedua-dua pihak berkembang dengan pesat. Kedua-dua pihak telah menjalinkan hubungan yang erat melalui mekanisme kerjasama serantau, iaitu ASEAN-China (10+1), ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea (10+3), Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di samping bekerjasama untuk menghadapi isu yang menjadi tumpuan bersama.
Le Luong Minh mewakili ASEAN memberi penghargaan atas usaha China yang menyokong pembinaan integrasi dan komuniti ASEAN. Beliau yakin bahawa ASEAN yang kuat, stabil, bersatu-padu dan damai adalah selaras dengan kepentingan serantau dan negara jiran termasuk China.
Pada bulan Julai 2012, China telah melantik Yang Xiuping sebagai duta besar tetap ke ASEAN. Dalam hal ini, Le Luong Minh menganggap langkah ini amat membantu meningkatkan kerjasama dan penyelarasan antara China dengan ASEAN. Le Luong Minh menyatakan bahawa komuniti ekonomi ASEAN yang akan siap dibina menjelang tahun 2015 akan turut menggalakkan kerjasama ASEAN-China dalam bidang kesalinghubungan, pencegahan dan kawalan bencana dan penularan penyakit berjangkit, pertukaran budaya dan industri pelancongan.
Ketika membicarakan perkembangan hubungan China-ASEAN pada masa depan , Le Luong Minh yakin bahawa seiring dengan interaksi yang semakin bertambah, kedua-dua pihak akan terus mendorong dialog dan kerjasama untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
China dan ASEAN sekarang sedang menjalankan rundingan mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Sehubungan dengan hal ini, Le Luong Minh berkata, perjanjian ini melibatkan negara maju, negara membangun dan negara yang paling miskin. Taraf pembangunan yang amat berbeza antara pelbagai negara akan menyukarkan pelaksanaan perjanjian itu. Walau bagaimanapun, negara-negara terlibat amat berminat terhadap perjanjian itu dan amat menanti-nantikannya. Sekiranya perjanjian itu dicapai, beliau yakin ia akan menjadikan rantau ini pasaran tunggal yang paling besar di dunia, jauh mendahului pasaran AS dan Eropah.
Berhubung negara anggota baharu ASEAN, Le Luong Minh berkata, ASEAN akan berusaha memaksimumkan manfaat bagi semua negara anggota dalam proses integrasi ASEAN. Negara anggota yang lebih maju ASEAN dan negara rakan dialog akan memberikan sokongan kepada negara anggota baharu untuk merapatkan jurang pembangunan.