Upacara penganugerahan sepuluh syarikat China di ASEAN dan sepuluh syarikat ASEAN di China yang paling berjaya pada tahun 2012 anjuran Majlis Perdagangan China-ASEAN (CABC) diadakan di Beijing pada malam 24 Januari lalu. Sementara sepuluh orang usahawan dari China dan ASEAN juga mendapat anugerah usahawan paling cemerlang.
Naib Ketua Setiausaha Tetap CABC, Xu Ningning ketika diwawancara oleh wartawan CRI menyatakan,
(rakman 1)
"Pemilihan ini pertama kali dianjurkan pada tahun 2012. Tujuannya adalah untuk menggalakkan syarikat China mengadakan kerjasama pelaburan dengan ASEAN. Kini, pelaburan ASEAN di China jauh lebih banyak berbanding pelaburan China di ASEAN. Di samping itu, ASEAN merupakan pasaran besar yang paling dekat bagi syarikat China untuk melabur di luar negara."
Dengan sokongan pelbagai Dewan Perniagaan serta Kedutaan Besar negara-negara ASEAN di China, lima orang usahawan ASEAN cemerlang termasuk Pengerusi Kumpulan "The Lion" Malaysia, Tan Sri William Cheng Heng Jem dan lima orang usahawan China termasuk Ketua Pengurus Syarikat Hidroelektrik Antarabangsa China, Wang Yu serta 20 buah syarikat dari China dan ASEAN, termasuk Keppel Land Singapura dan Syarikat PetroChina Antarabangsa terpilih untuk menerima anugerah tersebut.
Xu Ningning menyatakan bahawa tujuan sebenar penganugerahan ini adalah untuk meningkatkan persefahaman antara syarikat kedua-dua pihak dan mempererat hubungan kerjasama syarikat China-ASEAN dengan latar belakang pemulihan ekonomi dunia yang perlahan. Ia juga menjadi wahana bagi pihak-pihak terlibat untuk berkongsi pengalaman kejayaan masing-masing dalam bidang pelaburan. Beliau berkata,
(rakaman 3)
"Pada tahun 2012, pelaburan syarikat China ke ASEAN mencatat USD 4.4 bilion, meningkat 52% berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini amat besar dan telah mencerminkan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN bersifat saling melengkapi. Potensi kerjasama syarikat kedua-dua pihak sangat besar."
Xu Ningning menegaskan bahawa pelaburan syarikat China di ASEAN mesti bersesuaian dengan peningkatan dan transformasi industri tempatan. Ini bermanfaat bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan hubungan bilateral antara China dengan negara-negara ASEAN, dan juga amat dinanti-nantikan oleh negara-negara ASEAN. Kini, ekonomi dunia masih lembap, maka integrasi ekonomi di rantau Asia Timur sudah menjadi arah aliran dalam ekonomi global. Kerjasama antara China dengan ASEAN bermanfaat bagi mempercepat integrasi ekonomi di rantau berkenaan.