Majlis penyampaian hadiah kepada 10 syarikat China yang melabur ke ASEAN dan 10 syarikat ASEAN ke China yang paling berjaya pada tahun 2012 telah diadakan di Beijing pada malam 24 Januari lalu. Dalam aktiviti itu, 20 buah syarikat China dan ASEAN serta 10 orang usahawan masing-masing dianugerahkan hadiah syarikat cemerlang dan hadiah usahawan cemerlang. Antara pemenangnya adalah dua syarikat Filipina, iaitu syarikat Oishi dan Bank Metro. Selain itu, Pengarah Kumpulan Solid Filipina, Joseph Lim dianugerahkan "Hadiah Usahawan ASEAN di China yang Cemerlang 2012".
Dalam majlis tersebut, kaunselor perdagangan Kedutaan Filipina ke China, Zafrullah Masahud ketika ditemu ramah menyatakan bahawa ruang perdagangan antara China dengan Filipina amat besar. Syarikat kedua-dua negara seharusnya mengeratkan komunikasi dan meningkatkan persefahaman untuk mendorong perkembangan lanjut perdagangan kedua-dua pihak. Berhubung dua syarikat dan seorang usahawan Filipina yang memenangi hadiah berkenaan, Masahud berkata,
"Syarikat dan usahawan yang memenangi hadiah tersebut merupakan contoh yang baik untuk menggalakkan syarikat Filipina yang merancang atau sudah memasuki pasaran China. Pasaran China dengan pertumbuhan ekonominya yang pesat, merupakan pasaran yang paling besar di dunia. Dengan itu, persaingan di pasaran ini amat tinggi. Kejayaan kedua-dua syarikat Filipina itu akan memberikan pengalaman yang amat berharga kepada syarikat Filipina yang lain."
Masahud menganggap bahawa pasaran China yang agak besar menyediakan peluang perniagaan yang tanpa batas kepada perusahaan Filipina. Pada masa yang sama, pasaran Filipina juga terbuka kepada luar. Maka, prospek perdagangan dua hala antara China dengan Filipina amat cerah. Kata beliau,
"Potensi perdagangan China-Filipina amat besar. Kami mengalu-alukan syarikat China meninjau pasaran dan mencari peluang perniagaan di Filipina. Pada masa yang sama, kami juga menggalakkan syarikat Filipina ke China untuk mencari pengalaman dalam pasaran China yang agak besar itu. Kami berharap syarikat kedua-dua pihak meningkatkan pertukaran lawatan untuk mendorong perkembangan perdagangan dua hala. Filipina merupakan pasaran yang terbuka dan kedudukan geografinya amat dekat dengan China. Ini amat memudahkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara ini."
Ketika membicarakan prospek pelaburan syarikat China di Filipina, Masahud menyatakan bahawa Filipina bukan sahaja rakan dagang China, bahkan sepatutnya menjadi wahana eksport China. Kata beliau,
"Kami berharap perusahaan China yang berkenaan membina kilang atau melabur dalam sektor pembuatan jentera di Filipina supaya hasil pengeluarannya di Filipina dapat dieksport ke negara lain."