Cari:
CWE Berjaya Tembusi Pasaran Asia Tenggara
2013-02-08 12:36:57 CRI Cetak

Majlis penyampaian hadiah kepada 10 syarikat China di ASEAN dan 10 syarikat ASEAN di China yang paling berjaya pada tahun 2012 telah diadakan di Beijing pada malam 24 Januari lalu. Dalam aktiviti ini, Pengurus Besar Syarikat Tenaga Air dan Elektrik Antarabangsa China (CWE), Wang Yu telah memperolehi "Hadiah Usahawan Unggul China di ASEAN 2012". Sumbangan CWE kepada negara-negara ASEAN juga diberikan pujian yang tinggi. Naib Pengurus Besar CWE, Lv Jiongtao ketika menerima temu ramah wartawan CRI di tapak aktiviti itu menyatakan kejayaan CWE tidak boleh dipisahkan daripada semangat CWE yang sentiasa mengutamakan kualiti dalam setiap projek yang dikendalikannya.

Negara-negara ASEAN amat kaya dengan sumber air, manakala CWE ternyata mempunyai kelebihan dalam perekaan, pembinaan, pengurusan, pengawalan, serta teknologi dan perkhidmatan hidroelektrik. Selepas China dan ASEAN menjalinkan hubungan dialog pada tahun 1991, CWE telah melancarkan banyak projek yang memainkan peranan penting dalam hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala, termasuk projek pembekalan air di Pulau Penang Malaysia, projek empangan di Thailand dan loji janakuasa elektrik di Laos. Antaranya, projek di Malaysia dan Laos masing-masing menjadi contoh baik bagi kerjasama dua hala. Encik Lv Jiongtao berkata,

"Kami memulakan projek di negara ASEAN dengan mengupah pekerja tempatan. Ini telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada negara berkenaan. Selepas projek itu siap dibina, selain menerajui pertumbuhan ekonomi tempatan, kehidupan penduduk tempatan juga bertambah baik. Jalan raya di sekitar tapak projek itu telah kami baikpulih, penduduk tempatan pun membina rumah baharu dan pertanian di kawasan hilir sungai berkenaan banyak mendapat manfaat daripada projek kami. Kami juga membantu penduduk tempatan membangunkan kampung mereka termasuk membina sekolah. Bahkan ada tapak projek berkembang menjadi destinasi pelancongan selepas projek itu siap dibina."

Sejak pertengahan tahun 1990-an sehingga sekarang, CWE telah mengusahakan lebih 30 buah projek di negara ASEAN termasuk projek loji janakuasa elektrik, sistem pengairan di desa, pembekalan air di bandar dan lain-lain, yang menjana pendapatan melebihi USD satu bilion. Bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, CWE telah menubuhkan cawangan di Laos, Thailand, Filipina, Malaysia, Indonesia dan Myanmar.

Encik Lv Jiongtao menegaskan bahawa, walaupun pembinaan projek diutamakan, namun memahami adat resam tempatan adalah jauh lebih penting. Ini bagi memastikan pihaknya dapat benar-benar menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan dan menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka. Menurut beliau, kejayaan CWE adalah berkat perkembangan pesat hubungan China-ASEAN. Pada masa depan, CWE akan bersungguh-sungguh mengusahakan projek di negara ASEAN supaya setiap projek menjadi contoh baik bagi kerjasama dua hala.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China