Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dalam projek pembinaan landasan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura. Persetujuan berhubung projek kerjasama itu dicapai oleh Perdana Menteri kedua-dua negara dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura pada 19 Februari lalu. projek kereta api laju itu dijadual siap menjelang 2020.
Projek tersebut yang dinamakan "Sistem transit laju (RTS) Transnasional" akan menghubungkan bandar Kuala Lumpur dan Johor Bahru di Malaysia dengan Singapura melalui sebuah jambatan atau terowong untuk melewati Selat Johor. Dengan itu, waktu perjalanan Kuala Lumpur-Singapura akan dipendekkan daripada empat hingga lima jam sekarang kepada hanya 90 minit. Ratusan ribu penumpang dijangka menaiki kereta api tersebut setiap hari.
Reka bentuk Projek itu mengambil kira model rel kereta api laju London-Paris, Madrid-Barcelona dan Taipei-Koahsiung di Taiwan, China. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, projek tersebut akan dijalankan dengan usaha sama antara kerajaan dengan syarikat swasta. Pembinaannya akan dijalankan oleh syarikat swasta, manakala kerajaan kedua-dua negara akan memberikan bantuan dari segi pembinaan infrastruktur. Kelajuan kereta api itu dijangka akan setanding dengan kereta api "Bintang Eropah" yang melewati pelbagai negara Eropah.
Kini, terdapat tiga kaedah utama untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, iaitu bas eskpres, kereta api dan penerbangan. Bagaimanapun, bas dan kereta api memakan masa yang agak panjang, manakala tambang penerbangan agak tinggi. Oleh itu, pembinaan kereta api laju akan memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara, di samping menerajui pembangunan di kawasan sepanjang landasan tersebut, khususnya bagi Zon Pembangunan Iskandar (IDR) yang berdekatan dengan Singapura.
Menurut Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, perkhidmatan kereta api laju itu pasti akan menerajui pembangunan ekonmi, perdagangan dan pelancongan, dan merancakkan interaksi rakyat antara kedua-dua negara.
Projek itu juga dianggap satu kemajuan penting dalam usaha kesalinghubungan antara negara anggota ASEAN. Perkhidmatan pengangkutan yang menghubungkan pelbagai negara Asia Tenggara kini perlu ditingkatkan lagi seiring pembangunan ekonomi yang pesat di rantau tersebut. Projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura itu bakal menjadi satu komponen penting bagi perkhidmatan pengangkutan darat jika ia disambungkan dengan Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam, sehingga merealisasikan landasan kereta api yang menghubungkan bandar Kunming, provinsi Yunnan China dengan Singapura.