Persidangan Pertama Kongres Rakyat Kebangsaan China Ke-12 telah dirasmikan di Beijing pagi tadi. Sebagai badan penguasa tertinggi, persidangan tahunan kali ini akan memilih pucuk pimpinan negara yang baharu dan jabatan-jabatan berkenaan. Ketika menyampaikan laporan kerja kerajaan, Perdana Menteri Wen Jiabao menegaskan, pembaharuan dan dasar pintu terbuka merupakan daya penggerak yang penting bagi pembangunan China dan perlu terus dikekalkan dengan keberanian dan kebijaksanaan politik yang lebih besar.
"Kini, usaha pembaharuan China berada dalam tempoh kritikal. Kita perlu membuka minda, mempergiat pembaharuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, kebudayaan dan masyarakat."
Ini kali terakhir Perdana Menteri Wen Jiabao menyampaikan laporan kerja sebagai wakil kerajaan penggal ini. Laporan tersebut merumuskan usaha kerajaan dalam lima tahun yang lalu, menetapkan sasaran menyeluruh pembangunan sosioekonomi dan dasar ekonomi makro pada tahun ini serta memberi cadangan kepada kerajaan baharu.
Apa yang dihasratkan oleh raykat, justeru sasaran perjuangan negara. Setelah melaksanakan pembaharuan dan dasar pintu terbuka selama lebih 30 tahun, bagaimana berkongsi hasil pembangunan negara dengan semua rakyat telah menjadi tumpuan kerja kerajaan.
Wen Jiabao menyatakan, "Kerajaan menganggap penyediaan peluang pekerjaan sebagai perkara yang paling penting untuk menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat. Sebanyak RMB 197.3 bilion telah diperuntukkan dalam lima tahun yang lalu untuk menambah peluang kerja yang mencukupi, seramai 28 juta lulusan universiti dan 8.3 juta orang penganggur di bandar dan pekan mendapat peluang kerja. Sistem insurans pencen asas yang merangkumi semua penduduk di bandar dan luar bandar dibina. Sistem perubatan kerjasama yang baharu di kawasan luar bandar dan insurans perubatan asas bagi penduduk di bandar dan pekan dibentuk. Sistem insurans perubatan asas yang merangkumi semua penduduk telah diwujudkan. Selain itu, sistem perumahan kos rendah di bandar dan pekan dibina dan disempurnakan."
Dalam tempoh lima tahun yang lalu, China telah menempuh pelbagai cabaran seperti krisis kewangan global dan gempa bumi besar di provinsi Sichuan. Manakala, dalam tempoh lima tahun itu, KDNK China menduduki tempat kedua di dunia. Meskipun ekonomi global menghadapi kemerosotan pada tahun lalu, namun ekonomi China tetap mengekalkan pertumbuhan dan ia menjadi asas yang kukuh untuk pembangunan ekonomi tahun ini.
Bagaimanapun, Wen Jiabao juga mengakui pelbagai masalah yang menonjol wujud dalam pembangunan China, contohnya kurang seimbang, kurang selaras dan tidak mampan. Masalah struktur ekonomi ini perlu diselesaikan dengan meneruskan pembaharuan berkenaan. Oleh itu, "mengekalkan pembaharuan dengan keberanian dan kebijaksanaan politik yang lebih besar" ditegaskan dalam laporan kerja. Ini juga selaras dengan konsep "mengekalkan pembaharuan dan inovasi dalam pentadbiran negara" yang ditetapkan dalam Kongres Kebangsaan Ke-18 Parti Komunis China yang diadakan pada penghujung tahun lalu.
Kepada kerajaan baharu, Wen Jiabao mencadangkan supaya transformasi kaedah pembangunan ekonomi dipercepat, di samping mendorong integrasi pembangunan bandar dan luar bandar, serta menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat. Beliau juga menegaskan peri pentingnya mengurangkan jurang pendapatan, usaha antirasuah dan mengekalkan dasar pintu terbuka.
Berhadapan dengan situasi ekonomi yang suram, Wen Jiabao menyatakan, untuk mewujudkan matlamat pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.5% pada tahun ini, China perlu terus melaksanakan dasar fiskal yang proaktif dan dasar kewangan yang cermat, sekali gus menjamin pembangunan ekonomi yang mampan dan sihat. Pencapaian matlamat tersebut bergantung kepada peluasan permintaan domestik, mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan merangsang pelaburan swasta.
Memandangkan keadaan terkini masyarakat, beliau turut mencadangkan agar menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat dijadikan pedoman dalam semua kerja kerajaan pada tahun ini.
"Kerajaan perlu berusaha sedaya upaya untuk menyediakan peluang kerja yang mencukupi melalui pertumbuhan ekonomi yang stabil dan penyusunan semula struktur ekonomi, serta menjamin peningkatan pendapatan penduduk di bandar dan luar bandar secara berterusan dan stabil. Selain itu, meningkatkan pencen untuk pesara syarikat sebanyak 10% pada tahun ini, menyempurnakan sistem insurans perubatan yang melibatkan semua warga, serta membentuk mekasnime jaminan dan bantuan penyakit teruk. Tambahan lagi, kegiatan spekulasi dan jual-beli hartanah yang bersifat melabur perlu dikawal, sambil meningkatkan pembinaan dan pengurusan rumah mampu milik supaya rakyat mampu mendapat kediaman yang memuaskan." kata Wen.
Menurut perlembagaan China, penggal perkhidmatan bagi setiap kerajaan adalah sama dengan NPC, dan tidak boleh melebihi dua penggal. Sejak tahun 2003, Wen Jiabao telah 10 kali menyampaikan laporan kerja kerajaan. Laporan kerja kerajaan yang agak ringkas kali ini dikatakan merangkumi hasil kerja dalam tempah 10 tahun yang lalu dan harapan untuk masa depan. China akan terus, bahkan lebih mengutamakan rakyat bagi mewujudkan pembangunan yang menyeluruh, selaras dan mampan.