Cari:
Topik Hangat Sidang NPC Jadi Perhatian Media Asing
2013-03-06 15:18:05 CRI Cetak

Sidang tahunan Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) sedang diadakan di Beijing. Kumpulan pemimpin negara yang baharu akan dipilih. Di samping itu, China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar, sasaran pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan ekonomi yang akan diambil ketika menghadapi krisis kewangan global telah menarik tumpuan media antarabangsa. Pada masa ini, kira-kira seribu orang wartawan asing sedang membuat liputan mengenai persidangan CPPCC dan NPC untuk mengetahui hala tuju politik dan ekonomi China pada masa depan bagi menjangka pengaruh dasar-dasar tersebut terhadap negara-negara sendiri, serantau bahkan dunia.

Asen Godfred dari Radio Televisyen Cameroon yang pertama kali membuat liputan mengenai persidangan tahunan ini berkata,

"Kami berfokus kepada topik mengenai politik, dasar luar dan ekonomi. Ekonomi amat penting bagi kami, sebab China memainkan peranan penting dalam proses globalisasi. Pengalamannya dalam pembangunan ekonomi patut dipelajari oleh pemimpin-pemimpin negara lain, khususnya pemimpin Cameroon."

Sebagai negara jiran China, media Republik Korea amat mementingkan liputan tentang sidang tahunan NPC dan CPPCC. Wartawan "Akhbar Ekonomi Asia" negara itu, Cho Yong-sung menyatakan,

"Negara kami memberi tumpuan khusus kepada matlamat pertumbuhan ekonomi dan ciri-ciri ekonomi China pada tahun ini. Kini, ekonomi China mempunyai pengaruh langsung terhadap ekonomi Republik Korea. Selain itu, terdapat banyak syarikat kami melabur di China. Jika keadaan ekonomi China kurang memuaskan, syarikat-syarikat kami pula akan terjejas. Di samping itu, saya juga menumpukan perhatian kepada pucuk pimpinan baharu yang akan dipilih, khususnya jawatan Menteri Luar dan Gabenor Bank Pusat China."

Berbeza dengan beberapa media tersebut yang memfokuskan ekonomi China, ketua pengarang ruangan "Perspektif Utama" Reuters cawangan China, John Sinclair Foley lebih menumpukan topik urbanisasi, antirasuah dan perlindungan alam sekitar,

"Kami memberi tumpuan kepada tiga perkara, iaitu pertama, kaedah China meningkatkan jumlah penduduk di bandar dari 711 juta pada masa ini kepada 1.1 bilion. Kedua, rasuah merupakan kanser bagi pembangunan ekonomi. Kami mahu mengetahui tindakan kerajaan China membanteras rasuah supaya menjamin pembangunan ekonomi. Ketiga, perlindungan alam sekitar biasanya diketepikan ketika sesebuah negara membangunkan ekonominya. China patut menggunakan sumber alam secara lebih berefisien. China sudah menjadi pengimport minyak terbesar dan situasi alam sekitar yang dihadapi oleh China semakin buruk. Kami mahu memahami bagaimana China mengekalkan pembangunan ekonomi yang lebih hijau dan lestari."

Dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Wen Jiabao semalam, beliau mengakui pembangunan sosioekonomi China masih menghadapi banyak pertentangan dan masalah. Antaranya termasuk risiko tersembunyi dalam bidang kewangan, struktur industri kurang rasional, asas pertanian kurang kukuh, pertentangan antara pembangunan ekonomi dengan perlindungan sumber dan alam sekitar semakin keras. Selain itu, jurang pembangunan serta pendapatan di bandar dan luar bandar semakin besar, masalah ekologi dan keselamatan makanan dan ubatan yang berkait rapat dengan kepentingan asas rakyat masih belum dihapuskan, malah kawalan terhadap rasuah pula kurang berkesan.

Wartawan dari Agensi EFE S.A. Sepanyol, Xavier Fontdegloria Fernandez berpendapat, kerajaan China amat jelas akan cabaran yang dihadapinya,

"Saya berpendapat adalah amat bijak dan baik bagi sesebuah kerajaan yang menyedari masalahnya. Laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Wen Jiabao menyentuh banyak masalah di China seperti rasuah, pencemaran dan lain-lain. Ini amat penting bagi pembangunan China pada masa depan."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China