Laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Wen Jiabao terus menarik perhatian antarabangsa. Beberapa media luar negara berpendapat, sasaran pertumbuhan ekonomi China pada tahun ini adalah munasabah. Pembangunan ekonomi China secara sihat dan mampan bukan hanya bermanfaat bagi kerjasama ekonomi China dengan pelbagai negara lain, malah juga akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara-negara terlibat.
Pengarah Pusat Penyelidikan Mesir-China, Universiti Helwan Mesir, Yasser berkata, sasaran pertumbuhan ekonomi China pada 7.5% yang ditetapkan oleh kerajaan adalah munasabah, dan merupakan unjuran yang tepat bagi mempercepat transformasi kaedah pembangunan ekonomi dan penyusunan semula struktur ekonomi.
Meskipun menghadapi kemerosotan global, ekonomi China telah memperlihatkan trend pembangunan yang positif dan telah menjadi enjin penjana pemulihan ekonomi dunia. Sumbangan China kepada dunia tidak boleh diketepikan.
Profesor dari Kolej Politik Awam Lee Kuan Yew, Universiti Kebangsaan Singapura, Chen Kang menyifatkan sasaran ini sebagai tidak pesimis dan juga tidak terlalu optimis.
Menurut laporan BBC, sasaran tersebut mencerminkan bahawa China mengejar pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Stesen Televisyen Al-Jazeera siaran bahasa Inggeris menyatakan, laporan kerja kerajaan China mementingkan pembangunan sosioekonomi yang seimbang.
Pengurus Besar Perdagangan dan Pelaburan Jerman (GTAI), Benno Penze menyatakan, berbanding Eropah dan AS, pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.5% tetap merupakan sasaran yang amat tinggi. Beliau menegaskan, pertumbuhan ekonomi China telah menggalakkan pembangunan pelbagai negara yang lain.
Naib Pengarah Akademi Sains Sosial New Delhi India, Roey menyatakan, isyarat penting yang disampaikan dalam laporan kerja tersebut ialah ekonomi China akan mengekalkan momentum pertumbuhan yang pesat, yang juga lebih rasional dan mampan. Sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.5% bukan hanya mendorong pembangunan ekonomi China, bahkan akan membantu pemulihan, pembangunan dan kemakmuran ekonomi pelbagai negara lain, khususnya pelbagai entiti ekonomi baru muncul dan negara-negara membangun.