Cari:
Banteras Rasuah Perlu Sistem yang Sempurna
2013-03-12 12:49:27 CRI Cetak

Persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) sedang berlangsung di Beijing. Menurut tinjauan yang dijalankan oleh media, usaha membanteras rasuah tetap menjadi tumpuan masyarakat.

Ketika mewakili Dewan Negara membentangkan laporan kerja kerajaan pada upacara perasmian persidangan tahunan NPC, Perdana Menteri, Wen Jiabao yang akan tamat tempoh perkhidmatannya menyatakan bahawa kerajaan berikrar untuk meneruskan perjuangan antirasuah dan meningkatkan pembinaan kerajaan yang bersih. Menurut beliau, situasi penumpuan kuasa yang berlebihan dan kekurangan kawal selia perlu diubah melalui pelaksanaan sistem yang berkaitan bagi memastikan pegawai jujur dan kerajaan bersih.

Penggunaan kuasa tanpa kawal selia yang cekap merupakan punca berleluasanya kegiatan rasuah. Perbuatan seperti makan minum dengan menggunakan dana awam, menggunakan kereta kerajaan untuk kegunaan sendiri dan menyalahgunakan kuasa untuk mengaut keuntungan telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.

Wakil NPC, Li Bin mencadangkan bahawa kunci bagi menyekat kuasa adalah dengan mengawal dana, sumber dan aset awam dan membiarkannya beroperasi di bawah sistem dan undang-undang yang berkaitan.

"Kuasa pentadbiran tertumpu pada tiga aspek, iaitu dana, sumber dan aset awam. Oleh itu, pengagihan, pengawalan, pengurusan, pengawasan dan transaksi dalam tiga aspek tersebut paling mudah menimbulkan rasuah. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu meningkatkan pengawalseliaan terhadap tiga aspek itu dalam proses transformasi fungsinya."

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan CPPCC, yang pernah menjawat jawatan Naib Setiausaha Suruhanjaya Pusat bagi Pemeriksaan Disiplin Parti Komunis China (PKC), Gan Yisheng menegaskan bahawa pembinaan sistem antirasuah perlu diterapkan dalam usaha pembaharuan sistem pentadbiran. Beliau turut mencadangkan bahawa selain daripada disiplin PKC sendiri, penggubalan undang-undang antirasuah juga perlu dipertingkatkan.

Cadangan seumpama itu yang dikemukakan oleh para wakil NPC telah mendapat respons yang positif. Naib Pengarah Jawatankuasa Undang-undang

Jawatankuasa Tetap NPC, Lang Sheng menyatakan bahawa dalam masa lima tahun yang akan datang, NPC akan terus menyempurnakan undang-undang untuk membanteras rasuah sehingga wujudnya sistem yang dapat menghukum pesalah dan mencegah rasuah.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China