Cari:
China Kekalkan Dasar Kewangan Berhemat untuk Jamin Pertumbuhan Ekonomi
2013-03-14 15:09:39 CRI Cetak

China akan terus mengamalkan dasar kewangan yang berhemat, di samping mengambil tindakan proaktif untuk menstabilkan harga barangan dan mengekang inflasi serta mengawal harga hartanah melalui langkah memperhebat dasar kredit berstruktur.

Dalam sidang media Persidangan Pertama Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-12 di Beijing semalam, Gabenor Bank Rakyat China, Zhou Xiaochuan memaklumkan bahawa kerajaan China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.5%, dan mengawal kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada paras 3.5% serta menetapkan pertumbuhan wang luas (M2) pada 13% pada tahun 2013. Kini, jumlah bekalan M2 di China hampir RMB 100 trilion, dua kali ganda daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) pada tahun lalu. Hal ini dikhuatiri akan mengakibatkan masalah inflasi dalam jangka masa panjang. Berkaitan dengan hal ini, Zhou berkata,

"Kadar simpanan di China agak tinggi berbanding negara lain. Kenaikan harga barangan secara mendadak tidak akan berlaku jika pertumbuhan M2 dapat dikekalkan pada paras yang sesuai."

Menyentuh tentang kenaikan berterusan harga hartanah di beberapa bandar di China, Zhou berkata, China akan memperhebat dasar kredit berstruktur untuk mengawal harga berkenaan.

"Dasar kawalan harga yang sedia ada, termasuk yang melibatkan kadar bayaran pendahuluan, kadar faedah gadai janji dan langkah penyusunan harga hartanah akan terus dilaksanakan. Selain itu, dasar kredit berstruktur akan ditingkatkan untuk mengawal harga hartanah."

Baru-baru ini, sejumlah negara termasuk Jepun melaksanakan dasar kewangan kelonggaran kuantitatif (QE) untuk merangsang ekonomi domestik. Sama ada langkah berkenaan memberi kesan kepada ekonomi China atau tidak menjadi tumpuan media dalam persidangan tahunan NPC semalam. Naib Gabenor Bank Rakyat China, Yi Gang berkata,

"Negara-negara terlibat diharap mematuhi sepenuhnya persepakatan yang dicapai oleh Kumpulan 20 (G20) bagi mengelakkan kesan limpahan QE serta impaknya terhadap pasaran kewangan global dan aliran modal. Serentak itu, kami juga akan mempertimbangkan faktor tersebut ketika menyusun dasar kami sendiri."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China