Presiden China, Xi Jinping memilih Rusia sebagai destinasi pertama lawatannya ke luar negara mencerminkan Rusia-China memandang penting perkembangan hubungan bilateral. Lawatan Xi kali ini pasti akan mencapai hasil yang kaya dan akan mendorong perkembangan hubungan rakan kerjasama strategik Rusia-China yang menyeluruh.
Demikian dinyatakan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam rundingan dengan Presiden China Xi Jinping di Kremlin, Moscow semalam.
Xi menegaskan, memandangkan situasi antarabangsa yang rumit dan persekitaran ekonomi antarabangsa yang serius, China dan Rusia perlu mengukuhkan lagi kerjasama strategik yang menyeluruh.
Setelah membincangkan kerjasama yang pragmatik kedua-dua pihak, pemimpin kedua-dua negara berpendapat, sudah tiba masanya bagi China dan Rusia memperluas kerjasama ekonomi. Kedua-dua negara perlu terus memperbaiki struktur perdagangan, meningkatkan kualiti perdagangan, memperluas bidang perdagangan agar mencapai sasaran jumlah perdagangan bilateral sebanyak USD 100 bilion lebih awal daripada masa yang dijadualkan iaitu pada tahun 2015.
Selepas rundingan, pemimpin kedua-dua negara bersama-sama menandatangani Kenyataan Bersama China dan Rusia berhubung Kerjasama yang Menang-Menang dan Peningkatan Hubungan Rakan Kerjasama Strategik yang Menyeluruh.
Pada malam itu, Xi Jinping dan Putin bersama-sama menghadiri majlis perasmian Tahunan Pelancongan China di Rusia di dewan Kremlin.