Latihan pelayaran jauh yang dijalankan oleh Armada Laut China Selatan memasuki hari ke-14 semalam. Menurut Panglima Armada Laut China Selatan, Jiang Weilie, pembangunan angkatan laut China tidak bermakna strategi pertahanan luar pesisir China berubah.
Panglima Jiang menyatakan, pelbagai cabang dalam angkatan tentera telah mencapai kemajuan besar melalui latihan kali ini, khususnya pasukan udara. Selain itu, pasukan marin dan pasukan pengawal pantai dan pelabuhan telah memanfaatkan sepenuhnya latihan kali ini serta kelengkapan mendarat baharu yang turut terlibat untuk meningkatkan kerjasama antara pelbagai pihak.
Jiang menegaskan, latihan pelayaran jauh merupakan kaedah paling berkesan untuk meningkatkan kemampuan bertempur angkatan laut, bagi memastikan mereka mampu menjalankan pelbagai tugas ketenteraan dengan cekap. Tambah beliau, Armada Laut China Selatan akan terus merutinkan latihan pertempuran jarak jauh, meningkatkan penggunaan sistem maklumat komando, menambah kesukaran dan keintensifan latihan, memeriksa kemampuan bertempur dalam situasi yang rumit serta mengadakan latihan pelayaran jauh tanpa sokongan maklumat dari pangkalan bagi meningkatkan kemampuan berperang armada berdasarkan sistem maklumat.
Beliau menegaskan, latihan pelayaran jauh merupakan kebiasaan angkatan laut pelbagai negara. China merupakan sebuah negara gergasi yang sedang melaksanakan pembangunan secara damai. Oleh yang demikian, sebagai kekuatan strategik untuk memelihara kedaulatan serta hak dan kepentingan marin negara, strategi angkatan laut China mesti selaras dengan strategi negara.
Menurut beliau, melalui siri latihan pertentangan kali ini, kemampuan angkatan laut melancarkan serangan berjarak jauh dengan tepat, menghalang serangan udara dan peluru berpandu, kerjasama antikapal perang dan antikapal selam, serta pendaratan bersama pelbagai jenis pasukan telah diuji. Di samping itu, kaedah latihan pula disempurnakan.