Forum Asia Boao 2013 akan diadakan pada 6 hingga 8 April nanti. Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri majlis perasmian forum tersebut dan menyampaikan ucaptama. Menurut pakar, sidang kali ini akan meletakkan forum tersebut sebagai platform bagi hubungan luar peringkat tinggi bagi kerjasama Asia.
Menurut laporan, Xi Jinping akan pertama kali menghadiri forum tersebut selaku Presiden China. Selain beliau, beberapa orang pemimpin negara asing dan pertubuhan antarabangsa akan turut hadir.
Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa China, Qu Xing berkata, kehadiran Xi Jinping pada forum Boao akan menjadi satu lagi langkah diplomatik yang penting bagi presiden baharu itu.
Timbalan Ketua Pengarah Institut Forum Asia Boao, Yang Xiyu berkata, forum tahun ini mendapat perhatian meluas dalam dan luar negara disebabkan pucuk pimpinan baharu China yang baru dipilih.
Setakat ini, 1477 orang wakil dari 43 negara dan kawasan telah mendaftar untuk menyertai forum kali ini, di samping kira-kira 1000 orang wartawan dari lebih 200 buah media akan membuat liputan.
Ketua Setiausaha Forum Boao, Zhou Wenzhong berkata, China merupakan penjana utama dalam pembangunan Asia bahkan dunia. Oleh itu, dunia juga ingin memahami kerajaan baharu China, khususnya gagasan dan inisiatif pembangunannya.
Menurut Qu Xing, pemimpin China akan menerangkan pendirian China berhubung pembangunan dan kerjasama di Asia, misalnya cara mengatasi cabaran krisis kewangan, meningkatkan pembinaan kawasan perdagangan bebas serantau serta mendorong kesalinghubungan antara negara-negara Asia.
Forum pada tahun ini bertema "Pembaharuan, Tanggungjawab, Kerjasama: mencari pembangunan bersama di Asia", manakala "inovasi" ditetapkan sebagai topik utama perbincangan. Antaranya, cabaran inovasi yang dihadapi oleh ekonomi dunia serta ekonomi utama di dunia akan diberi perhatian.
Zhou Wenzhong berkata, tema tersebut ditetapkan kerana kesan negatif berikutan krisis kewangan semakin meningkat, malah semangat negara-negara Asia untuk bekerjasama mengatasi krisis kewangan juga terjejas oleh amalan perlindungan perdagangan. Baik di Asia mahupun di dunia, negara-negara berkenaan seharusnya mengetepikan perbezaan dan mencari kaedah untuk membangun bersama, menjamin hubungan kerjasama diteruskan secara lancar demi mewujudkan situasi menang-menang.
Yang Yuxi juga berkata, pembangunan bersama yang diterajui China akan memberikan manfaat kepada seluruh dunia.
Selain itu, pemimpin-pemimpin Afrika dan Amerika Selatan juga dijemput untuk membuat ucapan dalam forum Boao kali ini untuk berkongsi pandangan mereka terhadap peluang di Afrika dan pengalaman pembangunan di Amerika Selatan.
Zhou Wenzhong menambah bahawa walaupun pembangunan di rantau Asia amat pesat dan berkualiti, namun pembangunan tersebut tidak boleh hanya bergantung pada diri sendiri. Asia perlu bekerjasama dengan benua yang lain di dunia untuk mewujudkan pembangunan lestari.
Menurut pemerhati, kehadiran pemimpin-pemimpin dari Afrika dan Amerika Selatan adalah selaras dengan trend globalisasi ekonomi dan memenuhi keperluan pembangunan dunia.
Yang Yuxi menyatakan bahawa oleh sebab pertumbuhan ekonomi di Asia, Afrika dan Amerika Selatan amat pesat, prospek kerjasama antara ketiga-tiga rantau tersebut amat cerah, terutamanya dengan latar belakang pemulihan ekonomi Barat yang masih lemah.