Persidangan tahunan 2013 Forum Asia Boao (BFA) yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari telah dirasmikan di Boao, Hainan pada 6 April lalu. Agenda serta susun atur program dan aktiviti yang berkaitan dalam persidangan kali ini mencerminkan ciri-ciri "bertapak di Asia dan menggapai global". Ini menampakkan sepenuhnya sikap bertanggungjawab negara China yang bersedia berkongsi peluang pembangunan dengan pelbagai negara, menggalakkan kemajuan bersama Asia dan mencari jalan untuk mengatasi masalah pembangunan global.
Sejak ditubuhkan pada bulan Februari 2001, BFA telah memainkan dua peranan yang penting, iaitu menggalakkan kerjasama antara negara-negara Asia di samping meningkatkan dialog dan hubungan Asia dengan rantau lain.
Topik yang melibatkan isu dalam negeri seperti rancangan pembaharuan China, urbanisasi, pengubahsuaian struktur ekonomi, inovasi perusahaan dan strategi bagi menggalakkan syarikat tempatan melabur ke luar negara, serta topik mengenai isu global seperti  menjadikan Kumpulan 20 (G20) suatu mekanisme yang berkesan, tadbir urus kewangan antarabangsa dan risiko hutang global akan dibincangkan dalam forum ini.
Persidangan tahunan BFA kali ini bertemakan "Asia Mengejar Pembangunan untuk Semua: Penstrukturan Semula, Tanggungjawab dan Kerjasama".
Sejak persidangan tahunan BFA pertama diadakan, ekonomi China terus berkembang dengan mapan dan pesat, sekali gus membawa peluang yang penting bagi negara-negara yang lain di Asia. Ini bukan sahaja membuktikan pembangunan China bersifat menang-menang dan saling menguntungkan, tetapi juga menunjukkan sikap bertanggungjawab China untuk mengejar pembangunan bersama baik dengan negara jiran di rantau Asia, mahupun negara lain di dunia.
Dialog antara pemimpin China dengan usahawan dari dalam dan luar negara akan diadakan buat kali pertama dalam forum ini. Menurut pakar yang berkenaan, masalah terbesar yang dihadapi dunia kini adalah pemulihan ekonomi. Oleh itu, usaha mementingkan pembangunan perusahaan dan menyediakan persekitaran operasi yang kondusif kepada mereka bukan sahaja bermanfaat bagi pembangunan ekonomi China, malah juga bagi pemulihan ekonomi dunia.