Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 100 cedera dalam tiga letupan yang berlaku ketika acara Maraton Boston berlangsung. Insiden dan jumlah kematian serta kecederaan akibat serangan berkenaan disahkan oleh pihak polis Boston. Setakat ini, tiada pertubuhan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Dua daripada tiga letupan berkenaan dilaporkan berlaku di garis penamat maraton tersebut. Polis mengesahkan satu lagi letupan berlaku di Perpustakaan Peringatan JFK Boston. Walau bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan sama ada serangan tersebut ada kaitan dengan serangan ketika pertandingan maraton berkenaan. Ketua Polis Boston, Ed Davis mengingatkan penduduk supaya tidak keluar dari rumah dan menunggu maklumat seterusnya bagi memastikan keselamatan sendiri. Polis tempatan sudah membuka dua talian penting untuk membantu keluarga mangsa mengesahkan identiti mangsa dan memberikan petunjuk serangan tersebut.
Menurut laporan media tempatan, polis turut menemui dua lagi alat peledak yang tidak meletup di kawasan berhampiran kejadian berkenaan.
Pihak polis tempat sudah mengambil langkah kecemasan untuk menangani serangan tersebut.