Di depan rumah Richard Martin, seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang maut dalam kejadian itu, banyak bunga dan alat mainan diletakkan untuk menyampaikan rasa simpati orang ramai atas nasibnya yang malang. Ketika kejadian itu berlaku, Martin dan adik perempuannya yang berumur enam tahun bersama-sama dengan ibu mereka berada di garisan penamat untuk menunggu bapanya yang menyertai acara Maraton Boston. Selain Martin yang terkorban, adiknya kehilangan sebelah kakinya, manakala ibu mereka cedera parah.
Insiden dahsyat itu telah mengakibatkan empat orang maut dan lebih 170 lagi cedera, antaranya 17 orang dalam keadaan kritikal. Insiden ini turut menyuramkan hati penduduk tempatan.
Profesor Ilmu Politik Universiti Boston, Cathie Martin memberitahu wartawan, beliau tidak pernah menyangka akan berlakunya kejadian seumpama itu. Kata beliau,
"Saya fikir setiap orang pasti terkejut, kerana kami sangka kejadian seperti ini tidak mungkin berlaku di Boston. Sebenarnya, kami tidak pernah mengalami insiden semacam itu."
Pada pagi semalam, iaitu selepas 20 jam berlakunya letupan bom itu, Presiden Obama sekali lagi menyampaikan ucapan di White House. Kata beliau,
"Ini kelakuan pengecut yang amat kejam dan tidak boleh diampuni. Seperti yang diketahui, kes ini yang sedang dalam siasatan FBI, memang serangan pengganas."
Kerja siasatan yang diketuai FBI dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan sedang dijalankan. Gabenor Massachusetts, Deval Patrick menyatakan dengan jelas bahawa pihak polis hanya menemui dua alat peledak di tapak letupan bom, dan tiada lain yang belum diletupkan. Ejen FBI, Rick Deslauriers menegaskan bahawa masih belum ada ancaman baharu dikesan sekarang.
Menurut laporan media lain, pihak tentera A.S. telah mengerahkan sekumpulan pakar letupan ke Boston untuk membantu siasatan berkenaan. Mereka akan mengumpul serpihan bahan letupan di tapak insiden itu untuk dibandingkan dengan maklumat pembuat bom yang terdapat dalam pangkalan data FBI dan tentera.