Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang mengumumkan semalam, atas undangan Presiden Republik Trinidad dan Tobago, Carmona; Presiden Republik Costa Rica, Laura Chinchilla; Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama; Presiden China, Xi Jinping bakal melawat tiga negara di Amerika tersebut pada 31 Mei hingga 6 Jun dan menemui Barack Obama di Annenberg, California pada 7 hingga 8 Jun nanti. Lawatan Xi kali ini dikatakan akan membantu memperhebat hubungan saling mempercayai China-AS dan menyuntik kedinamikan baharu kepada hubungannya dengan Amerika Latin dan rantau Caribbean.
Salah satu acara kemuncak dalam lawatan tersebut adalah pertemuan Xi dengan Obama. Pertemuan seumpama ini jarang berlaku dalam sejarah hubungan bilateral, terutamanya selepas hanya dua bulan Xi menyandang jawatan presiden. Ini dipercayai memperlihatkan keprihatinan negara gergasi terhadap hubungan antara satu sama lain. Selain itu, tempat pertemuan dipilih di Annenberg yang juga digelar "Kem David di Pantai Barat". Ia pentas diplomasi yang penting bagi AS, yang pernah menerima kunjungan 7 orang Presiden AS dan Ratu Britain. Naib Pengarah Pusat Pengajian Isu Antarabangsa China, Ruan Zongze berkata, pertemuan "tanpa dasi" ini dipercayai lebih pragmatik dan berkesan.
"Bentuk pertemuan kali ini adalah baharu. Ini terbukti dengan sifatnya yang 'tanpa dasi', dan tempat pertemuan pula bukanlah di ibu negara lagi. Ini memberi masa yang mencukupi kepada pemimpin negara supaya mereka dapat berinteraksi dalam suasana yang santai. Bagi Obama, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan seumpama ini dengan pemimpin lain. Manakala, bagi Xi Jinping, beliau pula tidak pernah menghadiri pertemuan seperti itu."
Berhubung itu, Naib Ketua Institut Hubungan Antarabangsa Universiti Renmin China, Jin Canrong berkata, ini buktinya hubungan China-AS berkembang matang.
"Bentuk tidak rasmi ini adalah hasil hubungan yang semakin mendalam antara satu sama lain. Pada asalnya, kedua-dua pihak mementingkan upacara yang rasmi, namun sekarang, kandungan pertemuan lebih diutamakan. Pertemuan yang istimewa ini membantu membentuk amanah peribadi dan hubungan kerja yang baik. Secara amnya, bentuk ini jauh lebih berkesan."
Menurut Jin Canrong, topik perbincangan dalam pertemuan kali ini amat luas, termasuk hubungan strategik yang saling mempercayai, hubungan bilateral, isu serantau dan antarabangsa, tenaga alternatif dan perubahan iklim.