
Baru-baru ini, beberapa tempat di Malaysia dilanda jerebu. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor, Melaka dan Selangor lebih tinggi daripada 100, iaitu paras yang tidak sihat. Bahkan, IPU di Melaka mencatat 129. Pencemaran udara yang begitu teruk ini mengakibatkan masalah pernafasan terutamanya bagi mereka yang telah berusia dan kanak-kanak kecil.
Pada bulan Ogos setiap tahun, petani di Indonesia akan membakar hutan untuk membersihkan tanah ladang. Ini mengakibatkan jerebu yang teruk di Malaysia, Singapura dan beberapa negara lain di rantau ini. Pada tahun 1997, berikutan cuaca kering yang berlarutan, kebakaran telah merebak ke kawasan hutan yang seluas lebih 100 juta hektar dan mengorbankan kira-kira 300 orang. Kejadian itu menyebabkan jerebu melanda Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei sehingga mengakibatkan kerugian bernilai USD 9 bilion dan menjejaskan kesihatan seramai 20 juta orang. Akibat jerebu dari Indonesia, Malaysia mengalami kerugian yang besar kerana penerbangan terganggu, kemalangan jalan raya kerap berlaku dan industri pelancongannya merosot.
Sejak tahun 1999, kerajaan Indonesia telah mengharamkan pembakaran hutan, namun undang-undang itu gagal dilaksanakan dengan berkesan. Ini kerana membakar hutan tetap cara yang paling rendah kosnya dan paling kerap digunakan di seluruh negara itu. Kerajaan Indonesia pernah cuba menyediakan bantuan kepada petani untuk menggalakkan mereka mengambil cara lain untuk membersihkan tanah ladang, tapi hasilnya kurang memuaskan. Setiap tahun, lebih seribu kes pembakaran hutan berlaku di Indonesia. Pihak bomba tidak mampu menangani begitu banyak kes dan biasanya hanya dapat menunggu kedatangan musim hujan pada bulan Oktober setiap tahun.
Disebabkan itu, kerajaan Indonesia terpaksa menghadapi tekanan yang besar dari pelbagai negara jirannya. Pada tahun 2002, "Perjanjian Mencegah Jerebu Merentas Sempadan ASEAN" ditandatangani di Kuala Lumpur yang bertujuan meningkatkan kerjasama mencegah jerebu akibat pembakaran hutan, meningkatkan kemampuan memadam api, membentuk mekanisme amaran awal, serta membenarkan pasukan pemadam api dari negara anggota ASEAN yang lain membantu memadam kebakaran. Ini merupakan kemajuan besar yang pernah mendapat pujian PBB. Akan tetapi, disebabkan perjanjian tersebut belum disahkan oleh kerajaan Indonesia hingga sekarang, meskipun Malaysia dan Singapura pernah beberapa kali mencadang membantu Indonesia memadamkan kebakaran atau membuat hujan buatan, akhirnya gagal. Bagaimanapun, negara-negara ASEAN, khususnya negara jiran Indonesia tetap tidak berputus asa memujuk kerajaan Indonesia mengesahkan perjanjian tersebut dengan secepat mungkin.








